Juadah nasi lemak memang sangat diminati di Malaysia tak kira oleh apa bangsa. Nasi lemak umpama makanan sinonim dengan rakyat Malaysia. Nasi lemak juga sesuai dimakan untuk sarapan, makan tengah hari atau pun makan malam. Ramai juga yang berniaga nasi lemak sebagai sumber rezeki.
Di mana-mana tempat pun pasti ada yang menjual dan mencari nasi lemak. Jadi, memang boleh dikatakan nasi lemak sangat popular di Malaysia. Baru-baru ini telah tular di Twitter video yang memaparkan rakyat Pakistan daripada kawasan pendalaman dipelawa mencuba juadah popular ini.
Dalam video tersebut, mereka disajikan dengan menu seperti nasi lemak lauk ayam goreng, roti jala cicah kari dan teh tarik. Video itu pada mulanya dimuat naik ke YouTube oleh saluran Reactistan yang menyediakan konten memaparkan reaksi dan penerimaan warga Pakistan terhadap makanan antarabangsa.
Perkara yang menjentik keinsafan dalam kalangan warganet adalah ketika melihat reaksi seorang yang lanjut usia apabila dihidangkan nasi lemak di hadapannya. “Alhamdulilah saya sangat bersyukur yang saya dihidangkan dengan ‘santapan Diraja’ hari ini”, kata lelaki itu.
“Ini umpama makanan 3 hari saya”.
Namun begitu, lelaki tersebut terkejut apabila dimaklumkan bahawa nasi lemak sebenarnya adalah hidangan untuk golongan marhaen.Seorang individu di sebalik tabir menerangkan bahawa pada mulanya nasi lemak ini adalah makanan untuk mereka yang bekerja di ladang dan kebun.
“Untuk peladang? Saya ingat ini (nasi lemak) adalah untuk golongan raja dan pemerintah”, balas lelaki itu terpinga-pinga selepas mendapat tahu tentang perkara tersebut.
”Jika nasi lemak ini adalah sejenis sarapan pagi, ia sangat berat dan saya akan mengambil masa untuk menghadamnya”, kata warga pakistan lain.
Video itu telah menyentuh hati para warganet dan sedar bahawa kita mengambil ringan apa yang dimiliki kerana sudah terlalu senang dan mudah didapati.
Ramai yang meluahkan rasa syukur kerana masih dapat menikmati juadah nasi lemak seperti biasa walaupun dianggap mewah oleh golongan yang kurang bernasib baik.
Baca juga: https://themalaysialife.com/opai-kena-pukul-dengan-geng-h-fatin-afeefa/