Nasib dua Ahli Parlimen Pas akan diputuskan oleh Peguam Negara.
Kertas siasatan Ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali yang didakwa berhubung kegagalan mematuhi SOP telah selesai dan akan diserahkan kepada Peguam Negara esok.
Manakala siasatan terhadap Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Zawawi Salleh berhubung kenyataan membabitkan kitab Injil telah dibuka dan juga akan diserahkan kepada Peguam Negara.
Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM) siasatan dibuka selepas adanya laporan polis dibuat terhadap anggota Parlimen Pas itu, di mana keterangan saksi juga telah diambil.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) selepas siasatan selesai.
“Kita buka kertas siasatan sebab ada laporan polis dibuat di Sarawak…Keterangan saksi telah dirakam.
“Sekarang kita tunggu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung media yang digunakan untuk menularkan isu itu,” katanya lagi.
Terdahulu, beberapa ahli DAP Sarawak membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pasir Puteh itu berhubung kenyataannya terhadap isu kitab Injil.
Sebelum ini, Nik Muhammad Zawawi menerusi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, tidak ada agama yang membenarkan penganutnya meminum arak.
Beliau kemudian dicelah oleh Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang mengatakan bahawa kenyataan itu tidak tepat dengan memberitahu bahawa agama lain membenarkan minum arak tetapi tidak memabukkan.
Nik Muhammad Zawawi bagaimanapun ketika itu mempertahankan kenyataannya dan berkata kitab Injil ‘dipesongkan atau diubah’.
Media melaporkan polis telah merakam keterangan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu bagi membantu siasatan berhubung kegagalannya mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.
Kementerian Kesihatan dilaporkan menyerahkan kertas siasatan dalaman pihaknya berhubung isu pelanggaran kuarantin oleh Mohd Khairuddin kepada polis untuk tindakan lanjut.
Mohd Khairuddin turut dikompaun oleh kementerian berkenaan sebanyak RM1,000 atas kesalahan itu.