Orang Asli Gua musang mendakwa pihak kerajaan gagal menyediakan kemudahan elektrik 24 jam menyebabkan mereka lebih 30 tahun bergantung kepada penggunaan generator.
Mereka terdiri daripada 1,000 penduduk Orang Asli di 10 kampung sekitar Pos Hendrop, dekat Gua Musang antara kampung terbabit sekitar Pos Hendrop itu ialah Kampung Layer, Regret, Palog, Sentok, Hendrop A, Hendrop B, Hendrop C, Plug, Cedar dan Kampung Tembare.
Imam Orang Asli di Masjid Pos Hendrop, Arif Rami, 50, berkata, akibat ketiadaan bekalan elektrik, kebanyakan penduduk kaum itu terpaksa berkongsi generator untuk tiga rumah.
Katanya, setiap rumah penduduk sudah berpuluh tahun disediakan dengan pemasangan pendawaian elektrik, tetapi sehingga kini mereka belum menerima bekalan elektrik.
Sebaliknya, dia berkata, kampung Orang Asli lain yang terletak di sepanjang Jalan Gua Musang-Lojing sudah lama dibekalkan elektrik 24 jam.
“Masjid di Pos Hendrop ini juga terpaksa guna generator hingga menanggung perbelanjaan yang tinggi bagi pembelian minyak dan membaiki kerosakan.
“Berikutan itu, kami juga sukar untuk menggunakan pembesar suara bagi ceramah agama serta baca khutbah pada solat Jumaat,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Sementara itu, Lian Buyong, 41, berkata, walaupun mereka sudah biasa tinggal dalam keadaan gelap kerana tidak ada bekalan elektrik, pihak berkuasa tidak seharusnya ambil tidak kisah permasalahan itu.
Katanya, kaum itu tetap mahukan perubahan supaya tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan negara, apatah lagi kemudahan elektrik 24 jam adalah keperluan asas.
“Lagi pun kampung kami ini bukan terletak jauh di pedalaman, sebaliknya hanya di tepi Jalan Gua Musang-Lojing yang mudah dihubungkan melalui jalan raya,” katanya.
Dia mengakui terpaksa menanggung perbelanjaan minyak generator yang dikongsi bersama tiga penduduk lain untuk menonton televisyen setiap malam.