Nasihat jangan tengok video lucah punca dibelasah – Polis

Hanya gara-gara menegur supaya tidak terus menonton video lucah menjadi punca kemarahan yang melarat menjadi kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata perkara itu hasil siasatan dan keterangan diperoleh daripada mangsa buli berkenaan.

Katanya, polis sudah menemu bual mangsa dan mendapati punca atau sebab pergaduhan kerana mangsa dikatakan menasihati seorang daripada suspek supaya tidak menonton video lucah di telefon bimbit.

KLIK LINK VIDEO: https://www.facebook.com/watch/?v=860849694590537

“Mangsa memberitahu jika tidak berhenti menonton (video lucah) dia akan melaporkan perkara itu kepada guru atau warden. Jadi, perkara ini dikatakan menjadi punca suspek bertindak memukul atau membuli mangsa.

“Keadaan itu menyebabkan enam suspek marah dengan seorang daripadanya yang juga pelajar Tingkatan Tiga mengarahkan rakannya yang terbabit untuk menumbuk dan menendang mangsa,” katanya mengulas perkembangan terkini berhubung kes itu, di Pasir Salak, semalam.

Media sebelum ini melaporkan, polis menahan enam pelajar sekolah berasrama di Kuala Kangsar yang menjadi suspek utama insiden buli terhadap pelajar lain, sebelum video mengenainya tular di media sosial.

Mior Faridalathrash berkata, beliau dimaklumkan pada Jumaat lalu semua pelajar pulang ke rumah masing-masing kerana cuti semester iaitu sehari sebelum malam insiden buli itu.

“Setakat ini polis sudah merakam percakapan saksi susulan video yang tular di media sosial, selain menahan 10 individu yang disyaki terbabit dan bersubahat dalam insiden itu.

“Seramai lapan saksi dipanggil dan diambil keterangan, sebelum semua semua suspek dibebaskan dengan jaminan polis.

“Polis turut merampas 11 unit telefon bimbit yang akan dihantar ke jabatan forensik untuk melihat kandungan di dalamnya. Kita akan merujuk kes kepada Timbalan Pendakwa Raya dan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut sebaik selepas semua siasatan selesai,” katanya.

Katanya, mangsa ketika ini masih menerima rawatan di sebuah hospital di Selangor dan keadaannya dilaporkan stabil dan tidak mengalami kecederaan serius.

Mangsa telah mengalami kecederaan ‘soft tissue’ atau kecederaan tisu lembut dalam badan dan kini dalam keadaan stabil.

Suara TV