Nazir dedah rahsia dimarah Rosmah depan orang ramai, “You had better Watch out!”

Berita ini dipetik dari Astro Awani

Skandal kewangan 1MDB, serta sikap agresif beliau terhadap pengurusan dana negara itu, mengakibatkan ketegangan berlaku dalam keluarganya sendiri, dedah bekas Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Tun Razak.

Dalam memoirnya ‘What’s in a Name’, adik kepada Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata, ketegangan itu berlanjutan sehingga isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor secara terbuka memberi amaran keras kepada adik iparnya itu.

Mengimbas kembali suatu peristiwa pada 15 Julai, 2015, Nazir berkata beliau ketika itu hadir di satu majlis Ramadan di kediaman Najib yang merupakan Perdana Menteri ketika itu.

“Sejak siri serangan media sosial ke atas keluarga kami, Azlina (isteri Nazir, Datin Seri Azlina Aziz) enggan menghadiri sebarang majlis sosial dengan abang saya, jadi saya pergi ke majlis tersebut bersendirian.

“Ia merupakan majlis peribadi dengan kehadiran beberapa orang Sultan, pegawai kanan kerajaan, serta pegawai Pejabat Perdana Menteri ketika itu. Ketika itu saya sedang berbual dengan Johari (abangnya) sebelum disertai Najib,” kata Nazir membuka cerita.

Pengasas firma Ikhlas Capital itu berkata demikian dalam memoirnya bertajuk ‘What’s in a Name’, dalam bab bertajuk ‘Eh, We Have a Problem’ yang memperincikan keraguan beliau terhadap penubuhan 1MDB serta hubung kait dana itu dengan Najib.

Biografi setebal 358 muka surat itu, memperincikan pengalaman Nazir dalam membangunkan CIMB sebagai institusi berperanan membawa ASEAN keluar dari krisis kewangan Asia.

Selain itu, terdapat juga bab-bab di mana Nazir berusaha menjunjung legasi ayahnya Tun Abdul Razak, serta perkongsian tentang penubuhan 1MDB, yang akhirnya menyebabkan kejatuhan abangnya serta Barisan Nasional.

Bercerita lanjut keadaan di majlis berkenaan, Nazir berkata, ketika sedang asyik berbual dengan abangnya, Johari, beliau ternampak kelibat seorang wanita dengan tudung yang tak mungkin digayakan orang lain menghampiri mereka.
Wanita itu tidak lain dan tidak bukan kakak iparnya, Rosmah Mansor.

Sebaik menghampiri mereka tiga beradik itu, Nazir berkata, Rosmah terus menggenggam tangan Najib seraya memandang suaminya dan berkata: “Jangan bercakap dengan dia! Dia sedang melakukan sesuatu terhadap you (Najib) dan sedang cuba menjatuhkan you!”

Nazir berkata, ketika itu juga, tetamu yang menghadiri majlis berkenaan mula memandang kejadian tersebut
Dalam masa sama, Najib cuba untuk menenangkan Rosmah dan mempertahankan adiknya itu, tetapi gagal.

Rosmah meneruskan kata-kata dengan pandangan yang tajam: “I know what you’re up to. I have eyes. You had better watch out! (Saya tahu apa yang kamu cuba lakukan. Saya ada pemberi maklumat. Awak lebih baik berhati-hati)”.

Nazir berkata, sejurus kejadian itu, beliau terus meninggalkan majlis berkenaan dan mengirim pesanan kepada abangnya.

Dalam kiriman mesej itu, Nazir memaklumkan itu adalah majlis terakhir yang dihadirinya memandangkan kakak iparnya bersikap seolah-olah memusuhinya.

Namun, Nazir berpandangan, apa yang Rosmah lakukan itu boleh difahami, walaupun niat Nazir adalah untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dalam 1MDB, bukannya untuk menyakiti Najib.

Dalam pada itu, Nazir berkata, rentetan pendedahan terhadap 1MDB, lesen penerbitan The Edge telah digantung selama tiga bulan atas alasan, liputan terhadap 1MDB boleh menimbulkan ketidaktenteraman di khalayak ramai.

Imbas Nazir lagi, ketika itu khabar angin bertiup kencang bahawa Pejabat Peguam Negara ketika itu (Tan Sri Abdul Gani Patail) sedang menyiapkan kertas pendakwaan ke atas Najib dan ketegangan dalam UMNO semakin memuncak.

Nazir berkata, pada Mei 2015, Muhyiddin (Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin), telah membuat ucapan keras di majlis tertutup UMNO, menegaskan masalah dalam parti boleh diselesaikan dengan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam 1MDB.

“Ucapan itu merupakan serangan terhadap Najib. Ketika bertemu dengan Muhyiddin di Jakarta pada Jun, beliau berkata, demi kebaikan UMNO dan negara, skandal 1MDB perlu ditangani segera.

“Dan pada 26 Julai 2015, Muhyiddin telah membuat ucapan, mempersoalkan beberapa perkara tentang 1MDB yang perlu dijawab Najib dengan kadar segera,” kata Nazir lagi.

Nazir turut menarik perhatian Muhyiddin dan Abdul Gani dilihat mengadakan perbincangan di Bangsar Shopping Centre, Kuala Lumpur.

Pertemuan itu menguatkan lagi khabar angin bahawa institusi bakal mengambil tindakan dan Muhyiddin perlu bersedia untuk langkah seterusnya.

sumber : Astro Awani

COMMENTS