Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz tidak akan mempertahankan kerusi yang dimenangi selama enam penggal berturut-turut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sekali gus mengakhiri kerjayanya dalam politik.
Beliau yang mengetuai pelbagai kementerian sewaktu pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak, berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkan ‘reset’ politik berlaku, sekali gus memberi laluan kepada pemimpin baharu.
“Saya harap ini juga mesej untuk ahli politik angkatan lama supaya sedar bahawa sekarang teraju politik sudah sampai ke tangan angkatan baharu.
“Kita memerlukan kesinambungan, kita tak boleh menongkat langit, sampai satu masa kita kena serah kepada generasi baharu.
“Saya jadi Ketua UMNO Bahagian hampir 20 tahun. Ahli Parlimen sejak 1995 dan dilantik timbalan menteri. Sebelum itu saya jadi Senator pada 1991. Kemudian jadi menteri sejak 1999.
“Sudah sampai masanya (bersara), sebelum orang tunjuk pintu keluar baik kita keluar sendiri,” katanya kepada BH, hari ini.
Mohamed Nazri adalah antara Ahli Parlimen UMNO yang lantang mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kerap mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam isu menarik balik sokongan kepada PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, Mohamed Nazri, berkata keputusan PRU-14 membawa rahmat tersembunyi kerana jika Barisan Nasional (BN) memenanginya beliau mungkin masih bergelar menteri.
Katanya, apabila Muhyiddin mengambil alih kepemimpinan negara pada 2020, beliau ditawarkan jawatan Kabinet, namun menolaknya kerana merasakan eranya sudah berlalu.
“Saya seangkatan Najib dan Muhyiddin, mereka berdua pun sudah tidak lagi jadi Perdana Menteri.
“Kalau rakan seangkatan saya semuanya sudah ‘habis’, eloklah saya berhenti sama, apatah lagi Perdana Menteri baharu adalah daripada angkatan lebih junior,” katanya.
Mohamed Nazri memulakan perjalanan politiknya pada 1978 sewaktu berusia 24 tahun apabila dilantik sebagai EXCO Pemuda UMNO dan dilantik sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO pada 1993.
Beliau adalah ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO selama 28 tahun dari 1990 hingga 2018 dan pernah dilantik Ahli Dewan Negara pada 1991 hingga 1995.
Mohamed Nazri berpengalaman mengetuai Kementerian Pembangunan Usahawan daripada 1999 hingga 2004, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) (2004 hingga 2013) dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan (2013 hingga 2018).
sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/856987/nazri-aziz-bersara-daripada-politik