Selebriti dan usahawan terkenal, Neelofa membuat pendedahan bahawa dirinya bukan lagi duta Swarovski.
Menurut Neelofa atau nama lengkapnya, Noor Neelofa Mohd. Noor, kerjasamanya jenama aksesori perhiasan popular dunia itu telahpun tamat hujung tahun lalu.
Penjelasan tersebut menjawab persoalan ramai yang menggesa agar kolaborasi antara Neelofa dengan Swarovski ditamatkan serta-merta disebabkan kesalahannya melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan isu berbangkit selepas itu.
Neelofa membuat pendedahan bahawa dirinya bukan lagi duta Swarovski.
“Kontrak saya dengan Swarovski telah tamat Disember 2020 namun kami masih mempunyai hubungan yang baik dan akan terus kekal begitu. Harap ini jelas,” katanya menerusi satu ciapan Twitter sebentar tadi.
Semalam, Swarovski dalam satu ciapan Twitter mengesahkan yang pihaknya tidak lagi berkerjasama dengan isteri kepada pendakwah bebas, Haris Ismail itu.
“Pihak kami boleh sahkan yang kami tidak lagi bekerjasama dengan Neelofa,” ciap Swarovski menerusi akaun rasmi Twitter.
Ciapan daripada pihak Swarovski.
Swarovski menjawab persoalan seorang netizen yang memuat naik ciapan mengatakan andai Neelofa artis Korea, jenama-jenama yang diwakilinya sebagai duta akan menamatkan kontrak serta-merta.
Bukan itu sahaja, terus memanaskan gelanggang media sosial apabila ramai dalam kalangan netizen bertubi-tubi mencadangkan nama selebriti kesayangan mereka, Nur Fazura untuk diambil atau diangkat sebagai duta baharu jenama antarabangsa itu.
“Gantikan dengan Fazura,” ciap seorang pengguna Twitter
Berita Penuh :https://www.kosmo.com.my/2021/04/30/kontrak-saya-dengan-swarovski-telah-tamat-disember-2020/