Netizen cop Neelofa tiada sifat empati, melulu bagi nasihat di radio

Ditegur atas kurangnya empati, pandangan usahawan selebriti Neelofa terhadap pengalaman sedih seorang pemanggil yang kehilangan ibu kandung semasa kecil dalam segmen 3 Pagi Era telah mendapat kritikan negatif daripada netizen.

Rata-rata netizen beranggapan bekas pengacara program Meletop itu tidak patut bersikap seolah-olah seorang kaunselor bertauliah apabila meminta wanita yang menghubungi stesen radio tersebut memaafkan ibunya.

“Sebagai hamba Allah, walau macam mana pun hubungan dengan ibu tak boleh diputuskan, walau seteruk atau sekeji mana pun dia.

“Kesalahan dia memang susah untuk kita lupakan, tapi maafkan itu mungkin, maksudnya dengan usaha dan kesusahan untuk memaafkan akan ada kebaikan Allah akan berikan nanti,” ulasnya dalam video dikongsikan stesen radio terbabit.

Dalam klip video yang tular di laman tiktok itu, Neelofa dilihat bersama sama dengan penyampai radio lain iaitu Nabil Ahmad, Azad serta Radin.

Pada segmen tersebut, pemanggil berkongsi pengalaman pahitnya ketika harus memikul tanggungjawab membesarkan dua adiknya selepas ibunya meninggalkan mereka untuk berkahwin dengan lelaki lain.

Trauma yang dialami pada usia 13 tahun itu menyebabkan pemanggil masih menyimpan perasaan marah terhadap ibunya yang cuba kembali dalam kehidupan mereka ketika adiknya berada di sekolah menengah.

Namun respons daripada Noor Neelofa Mohd. Noor terhadap pengalaman yang dialami oleh individu bernama Laila dikatakan kurang peka dan sangat tiada empati.

Lebih memburukkan keadaan, Nabil turut menggesa pemanggil supaya memaafkan ibunya kerana dikhuatiri tidak sempat untuk memohon keampunan.

Mereka beranggapan bahawa kedua-duanya seolah-olah mengabaikan perasaan pemanggil yang masih dihantui trauma kerana terpaksa menjaga adik-adik mereka seorang diri pada usia muda selepas kematian ayah mereka.

“Tidak boleh macam ini. Dia dah cerita panjang lebar, bagi tahu betapa sakitnya dia tak boleh memaafkan, lepas itu nasihat berpihak pada mak dia pula,” kata netizen.

“Jangan terus buat andaian, kita tiada di tempat dia, macam tak setara komen dengan trauma dilalui sejak umur 13 tahun,” ujar seorang pemilik akaun lain.

Baca juga: ‘Influencer’ ini kongsi tips flawless bak artis korea, rupanya guna ais kiub pun menjadi!