Netizen “kantoikan” seorang lelaki 20-an potong giliran dapat vaksin kali-2

Beberapa hantaran di media sosial yang dibuat seorang individu mencetuskan persoalan berhubung dakwaan potong giliran bagi mendapatkan vaksin Pfizer, yang digunakan dalam fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Fasa ini dikhaskan bagi warga emas, orang kurang upaya (OKU), dan penghidap penyakit kronik.

Menerusi beberapa hantaran di Instagram, seorang lelaki berusia 20-an dilihat menerima vaksin, dan dalam satu hantaran, jelas menyatakan dia menerima vaksin Pfizer.

Hal ini dibawa ke perhatian FMT oleh seorang pembaca.

“Dia semestinya bukan petugas barisan hadapan, pekerja perkhidmatan penting, mahupun (dalam kategori) penerima fasa kedua,” katanya.

Seorang pembantu kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, kementerian akan menyiasat hal ini.

Pembaca berkenaan bertanya sama ada penerima vaksin tersebut menggunakan “kabel” untuk mendapatkan vaksin, dan jika benar, ini tindakan yang “menjijikkan”, kerana saudaranya seorang warga emas masih belum menerima tarikh janji temu bagi vaksinasi walaupun mereka berdaftar bawah fasa kedua.

Ketika dihubungi FMT, penerima vaksin berkenaan berkata, dia terkejut ketika menerima panggilan pada waktu pagi yang menyuruhnya pergi mendapatkan vaksin.

Dia sendiri tidak tahu apa yang melayakkannya mendapatkan suntikan Pfizer, dakwanya.

“Saya diberitahu untuk menyebut satu nama di kaunter pertama,” kata beliau tanpa mendedahkan nama tersebut.

sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/19/potong-giliran-lelaki-20-an-dapat-vaksin-pfizer-bawah-fasa-kedua-cetus-persoalan/