Pelakon Shukri Yahaya memohon maaf atas kekhilafannya berhubung dakwaan melakukan adegan berunsur ‘soft porn’ dalam drama terbarunya, Layang-Layang Perkahwinan.
Dia turut berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan yang menimbulkan kontroversi tersebut diperkatakan dalam media sosial baru-baru ini.
“Saya minta maaf sebab apa yang terjadi itu semuanya berpunca daripada kesilapan saya sendiri.
“Babak diperkatakan itu sebenarnya diadakan pada hari pertama penggambaran dan saya teruja merealisasikan adegan tersebut tanpa memikirkan sensitiviti penonton.”
“Ketelanjuran sebegini takkan berulang kembali,” katanya ketika di temui pada sidang media drama Layang-Layang Perkahwinan, hari ini.
Dia turut menjelaskan dirinya tidak suka membaca skrip terlebih dahulu dan hanya melakukan interpretasi ketika hari penggambaran.
“Saya berterus-terang saya tak suka baca skrip. Saya hanya akan meneliti semula babak ketika berada di set penggambaran.
“Pada awalnya, saya bayangkan adegan itu sedikit saja, lagi pun itu hari pertama di set sampai saya terlampau bersungguh-sungguh mahu menjayakan watak,” ujarnya.
Malahan Shukri Yahaya turut mendakwa dirinya hanya ingin menampilkan kelainan dalam wataknya.
“Saya nak cuba nampak lain serta lebih versatil memandangkan sebelum ini selalu bawa watak lelaki lurus bendul”.
Baca juga: “Lagi sebulan nak kahwin, mak aku batalkan kahwin sebab menantu kantoi taktahu masak”