Umum tahu, kematian aktres Tangmo Nida mendapat perhatian dunia lebih-lebih lagi netizen Malaysia yang gigih menjadi penyiasat mencari tahu punca kematian mendiang.
Disebabkan kegigihan itu, polis Thailand yang sebelum ini dikhabarkan akan menutup kes berkenaan, akhirnya meneruskan semula proses penyiasatan kerana bukti yang dibongkarkan rakyat kita.
Bagaimanapun, terlalu obses dengan isu tersebut pun tidak baik juga. Isu ini telah menarik perhatian pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias sehingga membuat teguran terhadap sikap rakyat Malaysia yang terlalu memikirkan perkara yang tidak perlu.
Dalam satu ceramah, Ustaz Kazim menegur sikap rakyat Malaysia yang dianggap keterlaluan dengan isu Tangmo. Katanya, Tangmo tidak mempunyai ikatan persaudaraan jadi usah terlalu mengambil tahu.
Ustaz Kazim turut meluahkan rasa kesal kerana dia menganggap rata-ratanya tidak teruja dengan Ramadan yang akan tiba bulan depan
“Orang kita tak ada kena mengena dengan dia pun dia sibuk. Pelakon Thailand Tangmo Nida mati.. dok fikir siapa bunuh dia? Siang malam cakap kesian dia.
“Lantak dia la, dia dah mati. Tak ada kena mengena dengan kita pun. Nak kata sepupu tidak, anak saudara pun tidak. Membicarakan tentang dia lebih pada nak sambut Ramadan.
“Apa orang melayu kita ini pelik.. Benda yang tak ada kena mengena dengan dia sibuk bincang. Banyak hal lain yang boleh dibincang lagi,” katanya dalam satu ceramah di salah sebuah masjid dengan menyentuh isu tak penting untuk difikirkan.
@saidah_sprdn Pesanan #UstazKazimElias #CapCut
Jangan takut sangat bila mimpi Tangmo
Sementara itu, seorang pendakwah bebas, Ustaz Elyas Ismail pula mendedahkan di laman Tiktoknya, ada warganet yang berkongsi kepada beliau bahawa mereka bermimpikan Tangmo.
Elyas berkata, mimpi itu hadir berkemungkinan berpunca daripada psikologi gara-gara mengikuti perkembangan aktres itu dan beliau berpesan jangan terlalu takut kerana itu hanya mainan tidur.
“Bagi kita orang Islam, kalau mimpi macam itu, kita jangan keterlaluan sangat nak takut, bimbang. Mungkin boleh jadi sebab kita banyak fikir, baca dan ikuti perkembangan kes tersebut. Maka, itu boleh menyebabkan kita mimpi,” katanya.