Setelah berpindah dari Suria FM ke IKIMFM, Tyzo ataupun Tyzo Xander seringkali mendapat kecaman dari netizen.
Ada yang menyifatkan dirinya tidak cukup islamik berdasarkan gaya pemakaiannya yang bersahaja.
Akui amat pelik dengan kritikan tersebut, Tyzo atau Tuah Zolqarnain Idris mendakwa pemakaian seseorang langsung tidak mencerminkan perwatakan seseorang.
“Kecaman fasal pemakaian ini boleh buat makan ubat pening jugalah! Hanya kerana saya bekerja di stesen radio Islamik, pendengar mahu saya berubah ke arah itu juga.
“Secara peribadi perubahan itu datang daripada hati. Kalau berubah penampilan adakah saya kena pakai kopiah, berjubah baru nampak saya Islamik?
“Pada saya semuanya terletak pada hati. Tak perlu nak pakai jubah hanya untuk tunjuk pada orang kita sudah berubah,” katanya.
Namun, mengakui dirinya teruk dikecam netizen namun dia turut mengambil langkah bertenang kerana kebanyakan komen diterima adalah menggunakan akaun palsu.
“Alhamdulillah selepas dua bulan, kecaman semakin berkurangan mungkin sebab mereka sudah menerima saya seadanya.
“Kalau buka profil yang kecam rata-rata akaun palsu. Mungkin juga ada cybertroopers yang dihantar serang saya.
“Benda sebegini adalah cabaran untuk saya tapi tidak mengapa, saya tetap akan cuba yang terbaik,” jelasnya.
Baca juga: TLDM dedah rakaman video insiden helikopter sebelum nahas, akhirnya terjawab puncanya