Netizen saran iklan orang kaya isi minyak harga subsidi, jutawan kosmetik buka semua lampu

Hasrat kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar perlu disampaikan mesejnya secara berkesan lagi kreatif termasuk penyiaran iklan dengan naratif contohnya orang kaya isi minyak harga subsidi.

Saranan pengguna laman X, @AshraffMokhtar itu kepada kerajaan khususnya Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilihat menarik perhatian warganet.

“Patutnya masa ni Rafizi dah buat iklan TV, panggil lima enam talent pakai suit dan dress orang kaya, posing tepi BMW, Merc dekat pam minyak.

“Saya orang kaya. Gaji saya 40k sebulan. Saya pun boleh isi minyak harga subsidi. Macam anda.

“Anda rasa, patut ke?” tulis @AshraffMokhtar mencadangkan dialog untuk iklan kesedaran bernada sindiran itu.

Rafizi Ramli

Ashraff turut menyarankan babak berikutnya melibatkan watak jutawan kosmetik yang tidak peduli dengan penjimatan kadar elektrik.

“Lepas tu cut to rumah orang kaya lagi satu.

“Saya jutawan kosmetik. Profit sebulan 3 juta ringgit. Saya bukak semua lampu sebab tarif elektrik saya sama je macam anda. Anda rasa, patut ke?”

Rata-rata berpendapat idea tersebut sebagai kreatif dalam menyampaikan mesej kepada rakyat berkenaan pelaksanaan penstrukturan semula subsidi pukal kepada subsidi bersasar tahun ini.

Power dah idea ni kalau buat iklan.

“Padu ni reverse psychology marketing. Memang koyak rabak orang kaya, dan walaun-walaun kaya.

“Agak menarik. Selitkan sikit tentang kemuliaan PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” demikian antara komentar warganet.

Pada masa ini, kerajaan terpaksa menanggung subsidi petrol pukal kira-kira RM2 bilion sebulan yang turut dinikmati golongan kaya.

Bagi subsidi tarif elektrik pula, kerajaan memperuntukkan RM10.76 bilion untuk pengguna domestik dan pengguna bukan domestik kategori voltan rendah (LV) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023.

Kerajaan berpendirian golongan T20 tidak harus lagi menikmati subsidi petrol dan tarif elektrik kerana kategori terbabit berkemampuan untuk membayar dengan harga yang lebih kompetitif.

Dalam sesi dialog awam PADU di Shah Alam, 23 Mac lalu, Rafizi memaklumkan bahawa kerajaan sedang mempertimbang cadangan untuk melaksanakan pembayaran atau pengagihan bantuan dalam bentuk pindahan wang tunai secara bulanan langsung kepada rakyat.

Jelasnya, reformasi agihan bantuan sosial rakyat yang tidak pernah ditawarkan itu boleh dilaksanakan melalui PADU dan kaedah itu juga dijangka memberi tambahan pendapatan kepada penerima bantuan.

Walaupun pelaksanaan subsidi bersasar akan membolehkan isi rumah yang layak mendapat manfaat termasuk bantuan, reaksi tentera siber Perikatan Nasional (PN) dilihat sebaliknya.

Penyokong taasub pembangkang yang mesra dipanggil walaun tidak sudah-sudah menyindir gagasan kerajaan Madani sebagai ‘mahal dah ni’.

BACA JUGA “Suami sanggup bawak bini baru dia duduk serumah, alasannya sebab aku sorang je pandai masak”