Siapa sangka seekor pacat baru-baru ini menyebabkan ‘igauan ngeri’ kepada seorang lelaki apabila ia memasuki mata dan menyebabkan kesakitan yang teramat kepada lelaki berkenaan.
Lelaki itu dari Thailand menerima kejutan apabila mendapati seekor pacat meluncur masuk dalam salah satu kelopak mata bawahnya dan mula menghisap darah di tempat keluarnya air mata.
Sudah sedia maklum, aktiviti melibatkan hutan seperti perkhemahan, hiking dan sebagainya pasti tidak lari dari pelbagai kemungkinan seperti cuaca buruk, trek licin, gangguan hidupan hutan dan sebagainya.
Perkongsian yang dilakukan di Facebook oleh seorang blogger dari Thailand, Apichart Promtus tersebut disifatkannya sebagai sesuatu yang sukar untuk dipercayai tetapi dalam masa yang sama benar-benar berlaku.
Menurutnya, insiden berlaku ketika dia dan kawannya sedang melakukan aktiviti hiking sebelum rakannya yang dikenali sebagai Ton Sirayut itu meletakkan kameranya di atas tanah kerana ingin mencari spot yang menarik untuk digambarkan.
Ketika kamera itu di atas tanah, seekor pacat telah memanjat ke bahagian atas kamera dan memasuki viewfinder kamera milik Ton.
Kerana tidak perasan keberadaan pacat tersebut, Ton terus menggunakan kamera seperti biasa sebelum pacat berkenaan memasuki mata dan mula menghisap darahnya.
Dek kerana kesakitan, Ton mula menjerit dan kemudian mereka berdua mengambil masa lebih setengah jam untuk menarik pacat tersebut keluar dari mata menggunakan tangan.
Menurut Apichart, mereka mengambil masa yang lama kerana tidak membawa peralatan yang sesuai selain tidak berpengalaman mengendalikan situasi sebegitu dan mereka bernasib baik kerana setelah ‘bergelut’ lebih daripada 30 minit, pacat itu berjaya dikeluarkan.
Dalam masa yang sama, Apichart menyarankan mereka yang gemar melakukan aktiviti hutan untuk membawa air garam dan menggunakannya untuk mengeluarkan pacat dengan mudah sekiranya ia berlaku.
Baca juga: Penonton terkejut tengok Adira pakai baju nampak puting payudara di persembahan live TV