Ngeri! Terbakar selepas berlanggar, wanita rentung ditemui dalam kereta

Satu nahas jalan raya ngeri berlaku di Jalan Nanga Menamit, di Limbang, Sarawak pagi tadi menyaksikan seorang wanita rentung apabila kereta yang dipandunya terbakar selepas berlanggar dengan sebuah pikap.

Menurut Jurucakap Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9 pagi.

“Setibanya di lokasi, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang terus membuat kerja pemadaman sehingga api padam sepenuhnya.

“Selepas pemadaman selesai, pasukan bomba mendapati seorang mangsa rentung adalah pemandu kereta Proton Saga,” dipetik BH.

Walau bagaimanapun, katanya setakat ini identiti wanita berkenaan belum dikenal pasti.

Jelasnya lagi, pemandu Hilux yang juga belum dikenal pasti identiti turut cedera dan dihantar orang awam ke hospital berdekatan.