Nik Abduh bidas kempen angkat bendera putih, kena angkat tangan doa

Rakyat tidak sepatutnya diajar mengalah dengan mengangkat bendera putih apabila berdepan ujian Allah SWT, kata pemimpin PAS, Nik Abduh Nik Aziz.

Ahli Parlimen Bachok itu berkata, sebaliknya mereka yang diuji perlu menadah tangan memohon doa kepada Allah SWT.

“Angkat tangan berdoa kepada-Nya. Itulah bendera kekuatan dan optimis dalam ujian kehidupan.

“Jangan angkat kekalahan menghadapi ujian dengan mengajar rakyat mengangkat bendera putih,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Kenyataan itu hadir ketika sejumlah pengguna media sosial menggerakkan kempen kibar bendera putih.

Kempen itu meminta pihak yang terputus bekalan makanan menaikkan bendera putih di rumah masing-masing untuk membolehkan mereka dibantu.

Kempen itu juga bagi memberi isyarat kepada orang lain untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan segera.

Tidak jelas bagaimana atau bila kempen itu dimulakan, tetapi semakin banyak berkongsi mesej yang sama sejak petang semalam.

Antara lain, mesej seumpamanya disertakan dengan pesanan agar tidak mengambil tindakan ‘drastik’ dalam menghadapi kesulitan.

“Kepada yang susah, tiada makanan, naikkan #benderaputih di rumah anda, biar orang sekeliling membantu setakat yang termampu.

“Jangan ambil tindakan yang merugikan diri sendiri dan keluarga. Tidak perlu rasa malu. Hanya kibarkan kain putih.

Semoga ada yang datang membantu,” kata pengguna Twitter @JawaJohor2.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/580903