Tahukah anda nombor plat kenderaan merupakan lambang kemewahan seseorang yang menaikinya dan yang paling mahal di Dubai telah dijual dengan harga kira-kira RM4.84 juta.
Nombor plat kenderaan yang jarang ditemukan itu berjaya dijual dalam lelongan hujung minggu membabitkan jumlah jualan keseluruhan mencecah 50 juta dirham (kira-kira RM63 juta) dengan nilai bidaan tertinggi dijual hampir empat juta dirham (kira-kira RM5.1 juta).
The National News melaporkan nombor plat AA70 dijual pada harga 3.82 juta dirham (kira-kira RM4.84 juta) pada lelongan terbaharu Pihak Berkuasa Jalan dan Pengangkutan Dubai (RTA), yang diadakan pada Sabtu.
Ia membuktikan nombor plat itu paling menguntungkan pada malam berkenaan, mengatasi X7777 yang dibeli dengan harga 3.8 juta dirham (kira-kira RM4.81 juta).
Selain itu, nombor lain iaitu Z43 dijual pada pada harga 2.85 juta dirham (kira-kira RM3.61 juta), Y96 pada harga 2.66 juta dirham (kira-kira RM3.37) dan S888 pada harga 2.3 juta dirham (kira-kira RM2.91 juta) melengkapkan lima teratas.
Perolehan keseluruhan sebanyak 49.7 juta dirham (kira-kira RM63 juta) mewakili peningkatan 30 peratus dalam jualan pada lelongan terbuka sebelumnya yang diadakan tahun ini, yang membawa hasil 38.21 juta dirham (kira-kira RM48.46 juta).
RTA menawarkan 90 plat premium pada lelongan yang diadakan di InterContinental Dubai Festival City Hotel, menampilkan antara dua dan lima digit.
Nombor plat dan nombor telefon yang jarang ditemukan kerap mendapatkan keuntungan yang besar di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Lelongan selalunya berfungsi sebagai pemacu pengumpulan dana untuk tujuan yang wajar.
Pada April, pembida Dubai yang gigih membayar 55 juta dirham (kira-kira RM69.7 juta), untuk plat dengan nombor 7 dalam lelongan yang mengumpul hampir 100 juta dirham (kira-kira RM126.8 juta).
Plat lain yang dijual termasuk H31, W78, N41, AA19, AA22, X36, Z37, AA80 dan lain-lain.
Lebih daripada 97 juta dirham (kira-kira RM123 juta) dikumpul daripada penjualan plat kereta dan nombor telefon bimbit eksklusif pada malam itu.
Semua hasil daripada lelongan disalurkan kepada kempen Endowmen Satu Bilion Makanan, yang dilancarkan untuk meningkatkan usaha memerangi kelaparan global.
Baca juga: “Sebab dia sangat lembut”-Ustaz ceraikan isteri sebab jatuh cinta dengan ibu murid sendiri