Norza bawa keluarga ke Paris, rupanya Adam Adli pernah ‘sound direct’ isu rasuah

2 hari lepas kecoh satu Malaysia apabila nama yang membabitkan Presiden Majlis Olimpik negara(MOM) disensasikan oleh netizen di media sosial. Tan Sri Norza Zakaria yang juga Presiden MOM didakwa selamba ‘mengangkut’ keluarganya ke Olimpik Paris dengan menggunakan wang kerajaan.

Netizen juga mengaitkan dengan isu Jurulatih pemain badminton utama wanita negara yang tidak diberikan kuota untuk terbang ke Paris sedangkan Presiden MOM itu boleh membawa keluarganya ke sana.

Namun selepas itu, Norza Zakaria dalam kenyataannya menyangkal dakwaan tersebut dengan mengatakan bahawa dia ada kuota khas untuk membawa sesiapa sahaja ke Paris.

 Sebelum ini pada tahun 2022 sebaik sahaja Adam Adli dilantik sebagai timbalan Menteri Belia dan Sukan, MP dari Hang Tuah Jaya menyebut mengenai rasuah yang kronik dalam badan sukan di Malaysia.

Lantas dengan itu, MOM yang diketuai oleh Norza menggesa Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim supaya menjustifikasikan dakwaan beliau bahawa badan sukan di negara ini dibelenggu oleh gejala rasuah.

Norza Zakaria dalam kenyataanya menyebut adalah tidak wajar, tidak adil dan prejudis kerana pelbagai badan sukan negara berjaya melahirkan juara dunia dalam sukan masing-masing selama berdekad-dekad.

“Sebagai badan penaung 57 Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA), MOM amat kecewa dengan kenyataan Adam Adli yang tidak mempunyai justifikasi dan tidak disokong oleh sebarang bukti.

“Sepatutnya Adam Adli hendaklah mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan sebelum mengeluarkan kenyataan menyeluruh yang mencerminkan pemahaman yang lemah mengenai struktur sedia ada,” menurutnya dalam kenyataan hari ini

Norza berkata beberapa NSA telah diiktiraf sebagai persatuan model dan mematuhi prinsip amalan terbaik tadbir urus yang baik.

Beliau berkata NSA terbabit juga telah membantu meningkatkan profil sukan negara dengan melahirkan jaguh dunia yang digeruni dalam acara badminton, lumba basikal, terjun, boling tenpin dan silat.

“Meskipun NSA terbabit tidak sempurna dan beroperasi dalam kekangan, anda tidak boleh menyamakan kami dengan mereka yang kurang bertanggungjawab. Tidak dinafikan terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki namun tindakan mendakwa badan sukan mengamalkan rasuah adalah prejudis serta tidak matang,” katanya.

baca; Alat sulit jejas peluang ke pentas akhir sukan Olimpik, ada pihak cuba beri RM1.169 juta jika atlet lakukan ini