Indonesia digemparkan dengan berita pembunuhan tragis seorang kanak-kanak perempuan lima tahun oleh seorang remaja berusia 15 tahun. Remaja itu hadir secara sukarela ke balai polis Tamansari pada keesokan harinya untuk menyerah diri.
Kehilangan kanak-kanak malang itu telah dilaporkan kepada pihak polis oleh keluarga mangsa namun, mereka diminta bersabar dan memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
Remaja terbabit yang menyedari kekecohan di kejiranannya mengambil keputusan untuk membuat pengakuan di balai polis. Remaja itu sempat memuat naik sebuah hantaran di Facebook miliknya pagi itu.
Dia juga memuat naik sekeping gambar yang menunjukkan kakinya beserta kapsyen “OTW” yang bermaksud dalam perjalanan. Dia telah hadir secara bersendirian di Balai Polis Tamansari pada jam 10 pagi. Dia membuat pengakuan membunuh seorang kanak-kanak di rumah keluarganya.
Pengakuan tersebut pada mulanya dianggap gurauan oleh pihak polis namun mereka masih memeriksa lokasi kejadian dan menemui sekujur tubuh kanak-kanak di dalam almari pakaian. Remaja itu ditahan untuk siasatan lanjut manakala pihak forensik mula mengumpul bahan bukti.
Siasatan mendapati suspek yang tinggal bersama ayah kandung dan ibu tirinya dengan sengaja telah melemaskan mangsa di dalam tab mandi rumahnya sebelum menyimpan mayatnya di dalam almari pakaian. Suspek berkata perasaan ingin membunuhnya mencapai kemuncak pada hari itu dan dia berasa ‘lega dan berpuas hati’ selepas selesai melakukannya.
Remaja perempuan itu juga tidak menunjukkan sebarang tanda kekesalan sepanjang sesi soal siasat meskipun mangsa merupakan anak kepada jiran tetangga yang sudah lama dikenalinya.
Kanak-kanak malang itu berada di rumah suspek pada petang hari kejadian kerana dia merupakan kawan sepermainan kepada adik suspek. Ketika sedang bermain, remaja perempuan itu meminta mangsa mengambil mainan di dalam tab mandi.
Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa akur dengan permintaan tersebut. Suspek yang mengekorinya dari belakang membenamkan kepala dan melemaskannya di dalam tab selama lima minit. Mayat kanak-kanak itu kemudian disembunyikan di dalam sebuah baldi besar dan ditutup dengan cadar.
Lebih menyayat hati, ibu bapa mangsa pernah beberapa kali masuk ke dalam bilik mandi tersebut untuk mencari anak mereka. Dia pada mulanya mahu melupuskan mayat kanak-kanak itu dengan membawanya ke lokasi lain namun tubuhnya yang bersaiz kecil tidak mampu mengangkat mayat mangsa seorang diri.
Oleh kerana hari sudah lewat petang, dia menyembunyikan mayat itu di dalam almari pakaian di bilik tidurnya. Keesokan harinya, sewaktu dalam perjalanan ke sekolah, suspek menukar pakaian seragamnya kepada pakaian biasa dan pergi ke balai polis untuk menyerah diri.
Siasatan polis mendapati suspek, sebagaimana remaja lain seusianya, sangat meminati filem-filem bergenre seram. Namun remaja itu dikatakan obses dengan watak Chucky, boneka pembunuh dari filem Child’s Play (1988), serta Slender Man, watak urban legend yang digambarkan sebagai lelaki tinggi lampai tanpa wajah, bersut hitam serta bertali leher merah. Slenderman disifatkan sebagai pembunuh dan penculik kanak-kanak.
Polis telah menemukan koleksi lukisan Slenderman milik suspek dengan luahan hati dalam bahasa Inggeris serta beberapa lakaran menunjukkan wanita sedang menitiskan air mata dan didera dengan kapsyen: “Keep Calm And Give Me Torture” — Kekal Tenang Dan Seksalah Aku. Polis juga menemukan papan putih di dalam bilik tidur mangsa yang antara lainnya tertulis: Kalimah Bismillah. -I will always love you. Who? Unknown. -Tidak membenci. Hanya saja aku lemas tenggelam dalam emosi. -Mau siksa baby? Dengan senang hati atau enggak tega?
Selain mahu membunuh orang, dia juga dikatakan mempunyai satu lagi sifat luar tabii: Membunuh haiwan tidak berdosa. Dia turut mengaku pernah membunuh kucing peliharaannya sendiri.
Memandangkan gangguan emosi dan naluri ganas suspek disifatkan terlalu luar biasa untuk remaja seusianya, polis meminta pakar perubatan memeriksa kesihatan mental suspek. Dia telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan psikiatri. Pakar perubatan terkejut apabila mendapati suspek sedang hamil dan pernah menjadi mangsa nafsu buas orang sekelilingnya.
Pendedahan mengejutkan ini meletakkan remaja perempuan tersebut dalam dua situasi rumit iaitu sebagai suspek dan sebagai mangsa. Dia menamakan tiga suspek yang bertanggungjawab menghamilkannya iaitu bapa saudara pertamanya, bapa saudara keduanya dan teman lelakinya.
Ketiga-tiga mereka segera ditahan sejurus maklumat disalurkan. Pada Ogos 2020, Mahkamah Daerah Jakarta Pusat menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas remaja itu selepas didapati bersalah membunuh kanak-kanak berusia lima tahun.
Sumber : Twitter @JeffreyZain
Baca juga: Diekori dari tahun 2016, wanita ini rayu bantuan netizen untuk cari keluarga lelaki psycho