Omicron mengganas, PM New Zealand terpaksa batal majlis kahwinya sendiri

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern terpaksa membatalkan majlis perkahwinannya susulan langkah mengetatkan sekatan COVID-19 bagi menghadapi varian Omicron.

Bersama pasanganya..

“Majlis perkahwinan saya tidak akan diteruskan,” katanya selepas memperincikan sekatan baharu termasuk had kehadiran 100 orang lengkap vaksin dalam setiap acara.

“Saya baru sahaja menyertai rakyat New Zealand yang mengalami pengalaman seperti itu akibat pandemik dan kepada sesiapa yang terperangkap dalam senario itu, saya minta maaf.”

Kemunculan sembilan kes Omicron dalam sebuah keluarga yang mengembara antara bandar untuk menghadiri majlis perkahwinan dan jangkitan pramugari dalam satu pesawat yang mereka naiki memaksa New Zealand mengenakan sekatan “tetapan merah” mulai tengah malam Ahad.

Omicron jauh lebih mudah ditularkan berbanding varian Delta tetapi kurang berkemungkinan menyebabkan penyakit teruk.

Selain mengehadkan bilangan orang ramai, pelitup muka kini diwajibkan ketika menggunakan pengangkutan awam dan di premis perniagaan.

Ardern dan pasangannya, Clarke Gayford tidak pernah mengumumkan tarikh perkahwinan mereka, tetapi dipercayai dijadualkan dalam beberapa minggu akan datang.

Sekatan baharu ditetapkan untuk dikuatkuasakan sehingga sekurang-kurangnya akhir bulan depan.

“Begitulah kehidupan,” kata Ardern ketika ditanya perasaannya mengenai peraturan yang menamatkan perkahwinan dirancang.

“Tiada bezanya saya dan ribuan rakyat New Zealand yang mempunyai kesan lebih dahsyat akibat pandemik dan yang paling menyedihkan ialah ketidakupayaan untuk bersama orang yang disayangi kadangkala ketika mereka sakit tenat. Itu mengatasi kesedihan yang saya alami.”

New Zealand merekodkan 15,104 kes jangkitan COVID-19 dengan 52 kematian sejak pandemik bermula.

Sekatan sempadan yang ketat dan penutupan segera dilaksanakan sejak dua tahun lalu. – AFP