Gaya persis model dengan but tinggi hijau, jaket bulu berwarna putih, kaca mata hitam dan beg yang disangkut pada lengan telah memukau hati netizen.
Ini berikutan sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan aksi pekerja lombong yang memakai uniform, namun dengan gaya dan lagak persis model di pentas peragaan, lapor laman berita Wolipop hari ini.
Dalam video yang dimuat naik di laman TikTok oleh individu bernama Izalji, kelihatan pekerja-pekerja di sebuah tapak lombong berjalan sambil memakai uniform berwarna coklat beserta but dan topi keselamatan.
Namun, rakaman tersebut memberi tumpuan kepada seorang pekerja yang berjalan persis model di pentas peragaan.
Pekerja tersebut melangkah dengan penuh gaya di atas tapak projek itu.
“Tetap ‘slay’ (bergaya) ya,” demikian menurut keterangan pada video tersebut.
Tidak dinyatakan dengan jelas lokasi tapak projek itu, namun berdasarkan beberapa tanda pagar yang diletakkan, ia dipercayai berlaku di Pulau Sulawesi.
Video tersebut menjadi tular dan menerima pelbagai komen netizen.
“Ini mahu kerja di tapak projek atau sertai pertunjukan fesyen? Namun, dia kelihatan hebat kerana berbeza daripada pekerja lain,” kata seorang netizen.
“Fesyen anda paling ‘on point’ (cantik),” kata seorang lagi netizen.
Baca juga: Sebelum beli beras tengok dulu kod warna pada kampit