Orang dalam dedah punca sebenar perbalahan hangat dalam Umno Melaka

Perbalahan dalaman di kalangan pemimpin Umno Melaka yang semakin meruncing akhirnya membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri pimpinan Sulaiman Md Ali dan pembubaran Dewan Undangan Negeri untuk pilihan raya diadakan.

Sumber parti memberitahu FMT, “permusuhan” itu melibatkan ahli parti yang menyokong Sulaiman sebagai Ketua Menteri dan golongan yang mahukan Idris Haron kembali menerajui Melaka sepertimana sebelum PRU14.

“Perbalahan antara dua puak itu semakin meruncing dengan peredaran masa dan ini diambil kesempatan oleh PH.

“Mereka (PH) berjaya menarik sokongan penyokong Idris untuk bersama dalam cubaan untuk menubuhkan kerajaan baharu,” kata sumber itu.

Menurut sumber itu, perbalahan antara kem Idris dan Sulaiman bukan perkara baru tetapi berlarutan sejak “Langkah Sheraton” yang menyaksikan kerajaan PH diganti dengan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional.

Idris adalah Ketua Menteri sebelum PRU14, tetapi apabila PH tumbang di Putrajaya dan negeri lain termasuk Melaka, Sulaiman dilantik Ketua Menteri, Idris.

Petang tadi, Yang Dipertua Negeri Mohd Ali Rustam membubarkan DUN Melaka selepas Idris dan tiga lagi ADUN menarik balik sokongan terhadap Sulaiman.

Ini menyebabkan beliau hilang sokongan majoriti, sekali gus menjatuhkan kerajaan negeri pimpinannya.

Tiga lagi yang “bersubahat” dengan Idris dalam menarik balik sokongan itu adalah bekas pemimpin DAP Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu-Bebas), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas-Bersatu) dan Nor Azman Hassan (Pantai Kundor-Umno).

Semalam, Idris dan Nor Azman gugur keahilan Umno mereka secara automatik kerana mengambil tindakan itu.

Sumber itu berkata, kumpulan ADUN yang menyokong Idris mahu mencontohi perubahan pimpinan di Putrajaya bulan lalu dengan menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang mesra PH di Melaka.

“PH dan mereka yang menyokong Idris mahukan Umno terus menerajui kerajaan negeri tetapi ‘orang lain sebagai Ketua Menteri, bukan Sulaiman’.

Bagaimanapun, rancangan itu gagal kerana pimpinan tertinggi Umno pada mulanya mahukan pilihan raya negeri (PRN) diadakan untuk mengatasi kemelut politik itu.

Sumber parti lain memberitahu FMT, kalangan pemimpin Umno yakin PRN di Melaka tidak akan mencetuskan krisis Covid-19 seperti berlaku pada PRN Sabah jika SOP yang sesuai diamalkan.

“Kita tidak mahu Suruhanjaya Pilihan Raya terus menangguhkan pilihan raya kerana Covid-19,” katanya.

Bagaimanapun, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi petang tadi berkata ada kemungkinan PRN Melaka perlu ditangguhkan jika ia membawa risiko penularan Covid-19.

Dalam keadaan itu, beliau mencadangkan pengisytiharan darurat di Melaka, seperti mana di Sarawak sebelum ini.

Sumber itu berkata, Zahid membuat cadangan berkenaan kerana tidak mahu parti itu dipersalahkan jika PRN Melaka mencetuskan kluster Covid-19 yang berleluasa.

sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/10/05/perbalahan-dalaman-umno-punca-kejatuhan-kerajaan-melaka-kata-sumber/