Orang gaji warisi semua kekayaan selepas majikannya meninggal dunia, aset RM13 Juta dan villa mewah

Seorang pembantu rumah warga Thailand menjadi jutawan segera selepas majikannya meninggalkan harta bernilai 100 juta baht atau kira-kira AS$2.7 juta (RM12.8 juta).

Majikannya yang seorang ahli perniagaan wanita Perancis itu mewariskan harta berupa duit, dua buah villa dan kenderaan mewahnya kepada pembantu rumahnya itu 

Wanita kaya yang tinggal di sebuah vila mewah di Koh Samui di wilayah Surat Thani, Thailand itu meninggalkan hartanya kepada Pa Tim menerusi surat wasiat.

Pa Tim dari daerah Wanorn Niwas di wilayah Sakon Nakhon, berkata dia mengenali Catherine selama lebih 17 tahun selepas diperkenalkan oleh seorang rakan dan mula bekerja sebagai pembantu rumah di rumah sewa.

Catherine kemudiannya mengembangkan perniagaannya daripada hartanah sewa kepada resort dan vila, dan Pa Tim terus bekerja untuk wanita itu sepanjang kerjayanya dengan gaji 22,000 baht (RM2,836) sebulan.

Sebelum kejadian pada 28 April lalu, Pa Tim memberitahu Catherine dia akan bercuti sempena hari lahirnya.

Keesokan harinya, tukang cuci kolam menghubungi Pa Tim dan memberitahu Catherine terbaring di atas tanah di sebelah kolam, berlumuran darah.

Pa Tim berkata dia sangat terkejut dan bergegas ke rumah dan mendapati bosnya itu meninggal dunia dengan kesan tembakan di pelipis.

Selepas menyemak mesej LINEnya, Pa Tim menemui mesej daripada Catherine yang menunjukkan terdapat surat dalam peti keselamatan.

Portal berita Khaosod English melaporkan Pa Tim dan rakan Catherine kemudian membuka peti besi dan membaca surat itu bersama-sama.

Ia bermula dengan perkataan “Au revoir” atau “Selamat tinggal,” dan berkata, “Perjalanan saya berakhir di sini. Saya amat percaya bahawa anda adalah seorang yang berintegriti. Itulah sebabnya saya meninggalkan anda peti besi saya.”

Surat kedua adalah untuk Pa Tim. Surat itu menyatakan Catherine mewariskan vilanya, bersama-sama dengan tanah sekitarnya, 0.8 hektar tanah kosong, kereta mewah, barang kemas, cincin, berlian yang disimpan dalam peti besi, dan semua wang tunai di bank kepada Pa Tim.

Dia juga memberikan dua vila lain kepada Vincent, bekas suami Catherine.

Selain itu, wanita Perancis itu meminta Pa Tim menjaga tiga ekor kucing kesayangannya.

Pa Tim yang mempunyai empat anak itu turut mendedahkan Catherine telah membuat pindahan gajinya, yuran internet, bil air dan elektrik sepenuhnya sebelum kematiannya.

Dia juga membuat pindahan 500,000 baht kepada Pa Tim untuk menampung perbelanjaan pengebumiannya.

Pa Tim berjanji mengadakan upacara pengebumian yang sepatutnya dan tidak akan melupakan kebaikan Catherine.

Dia masih tidak tahu apa yang akan dia lakukan dengan vila itu pada masa akan datang, tetapi dia pasti tidak akan menjualnya. Begitu juga kereta mewah ditinggalkan Catherine, walaupun dia tidak boleh memandu.

Pa Tim percaya keputusan Catherine membunuh diri mungkin disebabkan tekanan akibat penyakitnya. Catherine menghidap kanser dan mungkin mahu meninggal dunia dengan aman.

Baca juga: Bukit Aman kini dedah lakaran wajah suspek kes simbah asid Faisal Halim