Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berpendapat hanya orang mabuk sahaja yang membuat penilaian parti itu tidak boleh menang di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, yang disertainya.
Menurutnya walaupun pada asasnya kawasan yang ditandingi itu menunjukkan PAS tidak mencapai 1,000 majoriti, tetapi beliau tidak menolak kemungkinan semua calon PAS boleh mencapai kemenangan.
“Tengok dia punya majoriti… bukan hak kita menang… hak kita kalah. Adalah logiknya jauh untuk kita capai (kemenangan) tapi penilaian itu dibuat seorang yang tidur… penilaian seorang yang mabuk,” katanya berucap pada penggulungan perbahasan di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 di Kuala Terengganu, hari ini.
Pada PRN Melaka, PAS yang akan menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) diperuntukkan lapan kerusi iaitu di DUN Kuala Linggi; Taboh Naning; Durian Tunggal; Bukit Katil; Duyong; Serkam; Kelebang; dan Merlimau.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, PAS kalah di semua kerusi DUN berkenaan sama ada kepada PKR atau UMNO.
Menyingkap sejarah perperangan dalam Islam, Hashim berkata umat Islam seramai 313 orang telah mencapai kemenangan melawan 1,000 bukan Islam pada Perang Badar.
Demikian juga katanya pada Perang Uhud di mana umat Islam diberi kemenangan pada peringkat awal, tetapi disebabkan ingkar arahan pemimpin, maka 70 pejuang Islam terbunuh.
Peperangan Khandak juga menyaksikan puluhan ribu tentera musuh dan Islam membuat persediaan, namun dengan kuasa Allah tidak berlaku pertumpahan darah dan tentera Quraish lari lintang pukang.
“Apakah makna itu semua. Dahulu ada pejuang Islam. Sekarang pun kita pejuang Islam,” katanya sambil menjelaskan PAS menyertai PRN Melaka dengan membawa bekalan yang tidak dimiliki musuh.
“Tidak mustahil bahawa lapan kawasan yang kita bertanding di Melaka itu kita akan dapat capai kemenangan, sekiranya persediaan kita seperti persediaan sahabat-sahabat (ketika ketiga-tiga perang itu),” katanya.
sumber : https://www.agendadaily.com/politik/prn-melaka-orang-mabuk-saja-kata-mustahil-pas-boleh-menang-8-kerusi/