Orang paling kanan Azmin saman individu kaitkanya dengan kes rogol

Adun Gombak Setia Muhammad Hilman Idham telah memfailkan saman fitnah terhadap seorang peguam yang mewakili seorang individu yang didakwa menjadi mangsa rogol.

Seperti yang dipetik oleh Malaysiakini, Hilman memfailkan saman terhadap Asheeq Ali Sethi Alivi berkaitan sidang media peguam itu pada 11 Ogos tahun lalu.

Ketika itu, media melaporkan Asheeq sebagai mendakwa polis belum mengambil tindakan terhadap laporan anak guamnya, yang mendakwa dia menjadi mangsa rogol kepada dua lelaki yang dikaitkan dengan Hilman.

Sebelum itu, wanita itu dilaporkan menyerahkan bukti terhadap dakwaan itu kepada polis.

Menurut salinan saman fitnah itu yang dilihat Malaysiakini, peguam yang mewakili Hilman daripada firma Hafiz Ruzaini & Co memfailkannya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 12 Disember lalu.

Berdasarkan pernyataan tuntutan saman itu, Hilman mendakwa Asheeq membuat kenyataan berunsur fitnah ketika sidang media yang dibuat di depan ibu pejabat polis di Bukit Aman.

Plaintif mendakwa kenyataan tersebut kemudian disiarkan dalam talian oleh beberapa media, seperti Sinar Harian, Free Malaysia Today, The Malaysian Insight, dan Malaysiakini.

Dia mendakwa kenyataan Asheeq jelas satu bentuk fitnah bertujuan menjatuhkan reputasinya.

Asheeq Ali

Kenyataan yang dibuat itu telah mengaitkannya dengan dakwaan rogol tersebut, dakwanya lagi.

“Plaintif turut menyatakan kenyataan itu secara langsung atau tidak langsung telah memberikan gambaran fakta salah dan persepsi buruk serta negatif oleh orang awam terhadap plaintif sebagai wakil rakyat dan Adun Selangor.

“Akibat daripada pernyataan tersebut, plaintif turut berdepan kesukaran dan/atau menambah beban kepada plaintif untuk menafikan setiap kenyataan berunsur fitnah tersebut kepada rakyat yang mengundi di kawasan DUN plaintif, plaintif, kelompok komuniti plaintif, ahli keluarga plaintif dan masyarakat awam secara keseluruhannya.

“Kenyataan tersebut juga telah mengundang rasa tidak percaya, kemarahan dan pandangan jelik oleh masyarakat kepada laintif,” katanya lagi.

Hilman menang di kerusi DUN Gombak Setia dalam PRU 2018 ketika bersama PKR. Dia kini telah menyertai Bersatu.

Asheeq pula adalah anggota PKR.

Hilman turut mendakwa peguamnya telah menghantar surat tuntutan kepada Asheeq dua hari selepas sidang media itu.

Mereka menuntut permohonan maaf secara terbuka segera, menarik semula kenyataan yang dibuat, tidak lagi mengulangi kenyataan itu dan pampasan RM500,000.

Namun, dakwa Hilman, sehingga hari ini defendan gagal mematuhi surat tuntutan yang dihantar.

Menerusi saman fitnah yang difailkan, Hilman menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan/atau teladan.

Dia juga menuntut beberapa perintah mahkamah, antaranya agar defendan menarik balik kenyataan yang dibuat serta membuat permohonan maaf terbuka dengan terma yang ditentukannya, serta disiarkan di laman Facebook, Instagram dan Twitter defendan.

Asheeq ketika dihubungi mengesahkan peguamnya telah mewakilinya di mahkamah dalam saman itu.

“Saya akan membela diri saya di mahkamah. Kita akan menfailkan (pernyataan) pembelaan nanti,” katanya hari ini.