Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) perlu tampil memberikan penjelasan mengenai penganjuran parti liar persendirian dalam koc miliknya yang didakwa merupakan yang pertama di Asia Tenggara.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin turut mengatakan ia tidak selari dengan adat serta kebudayaan timur masyarakat Malaysia.
Tindakan KTMB turut tidak menggambarkan Malaysia yang terang-terangnya sebuah negara Islam serta mengamalkan budaya dan adat resam Melayu.
“Sangat mengecewakan apabila nama sahaja kereta api Tanah Melayu, tetapi membenarkan parti liar yang penuh dengan arak dan perbuatan yang tidak senonoh. Apakah mesej yang KTM cuba sampaikan kepada rakyat bahawa kami sudah tidak Melayu?
“Itu belum lagi kecoh apabila dikatakan surau juga antara lokasi parti tersebut. Ini sudah melampau! Tempat yang sepatutnya suci dan bersih dibenarkan untuk pengunaan kasut, parti games dan arak,” dakwanya.
“Sekalipun KTM memang sudah membenarkan penyewaan koc untuk tujuan peribadi, tetapi perlulah meletakkan syarat yang ketat demi tidak mencemarkan imej dan nama KTM sendiri.
“Saya juga berharap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.
Tular di media sosial penganjuran parti persendirian yang dianjurkan oleh ‘Pinkesh’ yang turut menghidangkan minuman beralkohol di dalam tren tersebut.
Baca juga: Presiden Iran meninggal dunia