Padah buat ‘content’ tulang pipi hancur dan tengkorak retak-Youtuber hampir temui ajal

Padah buat ‘content’ tulang pipi hancur dan tengkorak retak. Bekas tentera Amerika Syarikat (AS) hampir menemui ajal apabila roket pelancar grened (RPG) meletup ketika sedang dilancarkan.

Kejadian itu berlaku ketika Adam Knowles sedang menghasilkan kandungan kreatif untuk media sosial menggunakan senjata tersebut.

Menurut Daily Mail, letupan RPG yang berlaku ketika dilancarkan itu menyebabkan Adam berdepan kecederaan serius, terutamanya pada bahagian kepalanya.

Tulang pipi Adam dikatakan hancur selain turut mengalami keretakan pada tengkorak serta melecur pada bahagian badan.

Mujurlah ketika kejadian, Adam turut ditemani beberapa individu lain yang segera menghubungi talian kecemasan untuk meminta bantuan.

Adam kemudian segera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan. Di hospital, Adam diberi rawatan segera termasuk menerima rawatan bagi kulitnya yang melecur.

Kos rawatan yang perlu ditanggung Adam mencecah $300,000 (RM1,395,090).

Adam sebelum ini sering menghasilkan kandungan video yang menunjukkan kemampuan dan kuasa yang dimiliki senjata-senjata moden.

Kandungan kreatif itu difahamkan untuk dimuat naik ke saluran Youtube miliknya, Ballistic High Speed.

Antara senjata yang pernah dijadikan sebagai kandungan hiburan oleh Adam termasuklah pistol, senapang, pelancar roket dan lain-lain lagi.

RPG meletup ketika buat content, Youtuber hampir hilang nyawa

Sementara itu, Adam baru-baru ini muncul dalam satu video baharu yang bertujuan untuk berkongsi keadaan semasanya.

“Saya masih memerlukan banyak penjagaan terutamanya untuk merawat luka-luka,” katanya.

Adam turut menyifatkan apa yang berlaku adalah satu perkara gila yang tiada siapa pun tahu bila boleh berlaku.

Dia juga mengakui tidak dapat mengingati apa yang berlaku selepas insiden RPG meletup itu.

Katanya lagi, mereka juga sedang menganalisis apa yang berlaku kepada RPG berkenaan dan bagaimana letupan tersebut boleh berlaku.

RPG merupakan senjata yang dibangunkan oleh Kesatuan Soviet dan pertama kali dikeluarkan pada awal 1960.

Baca juga: Kecoh pelajar UiTM lenjan Lamborghini dalam kampus, ini rupanya cerita sebenar