Seorang warga emas yang bertindak menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong ketika berkempen pada sabtu lalu telah mengundang padah padanya apabila dihukum penjara serta denda sebanyak RM3,000.
P Ramasamy, 66 tahun dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib iaitu Majistret yang bertugas.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara mulai dari tarikh penangkapan iaitu 4 Mei yang lalu. Sekiranya gagal membayar denda, beliau akan dijatuhkan hukuman penjara selama 10 bulan.
Menurut pertuduhan yang dibacakan, warga emas itu didakwa mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong di sebuah kenderaan jenis Mazda, yang turut membawa sepanduk Pakatan Harapan (PH).
Ia antara lain dilakukan dengan kecenderungan untuk menambahkan perasaan permusuhan antara golongan pengundi yang berbeza pendapat dalam PRK Kuala Kubu Baharu.
Tujuannya turut menggalakkan mana-mana pengundi agar memilih calon daripada parti PH.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4a (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding dijalankan, tertuduh memohon hukuman yang ringan kerana bekerja sendiri serta tidak mengetahui tindakannya itu bersalah disisi undang-undang.
“Saya tidak tahu ia menjadi satu kesalahan, kerana mahu memeriahkan suasana PRK sahaja,” katanya.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan mencadangkan agar tertuduh dijatuhi hukuman agar menjadi pengajaran pada yang lain.
Baca juga: Kebebasan Media Malaysia jatuh pada tangga-34 dunia, Fahmi Fadzil nafi salah kementerian sendiri