Pak Azad atau Azad Jasmin baru-baru ini memberanikan diri menyahut cabaran ‘Pinjam Seratus’ oleh pengacara Nabil Ahmad.
Penyampai radio, pelawak dan pengacara itu menyahut cabaran Nabil sewaktu rancangan siaran langsung Gegar Vaganza di Astro minggu lepas.
Nabil bagaimana pun menyahut cabaran itu sendiri dengan meminjam seratus dari pengadil tetap Ramli M.S atau lebih dikenali sebagai Tok Ram.
Walaupun gagal mendapatkan seratus ringgit dari Tok Ram, Nabil pandang ke kamera dan mencabar Azad dalam siaran langsung itu.
“Pak Azad, aku dah try pinjam seratus dari Tok, kau lepas ni pinjam seratus dari Perdana Menteri Malaysia..”, kata Nabil.
Esoknya Pak Azad memuat naikkan sebuah video dan mengatakan cabaran itu tidak adil kerana beliau tidak mengenali Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berbanding dengan Nabil yang sudah kenal rapat dengan Tok Ram dalam penglibatannya dalam Gegar Vaganza sejak 2014.
Namun dalam satu video berasingan di TikTok, Azad kelihatan mengambil serius cabaran itu dan dilihat membuat latihan untuk berhadapan dengan Perdana Menteri Malaysia itu.
Pada Selasa (10 Okt), Azad yang kelihatan berpakaian segak dengan kot biru, dapat bersemuka dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dan tidak membuang masa dan terus meminta seratus darinya.
“Saya nak pinjam seratus dari Datuk…” kata Azad dan Datuk Anwar menyambut dengan memegang kocek.
Pada masa yang sama, Azad sempat menjelaskan hasratnya “maksud saya nak pinjam seratus kata-kata semangat daripada Datuk Seri”.
Datuk Anwar kemudian berkongsi nasihat yang diminta Azad.
“Kita terus berusaha, inilah masa terbaik sekarang untuk beralih daripada keadaan lama kepada keadaan baru…” kata Datuk Anwar.
Trend ‘pinjam seratus’ ini telah tular dalam kalangan selebriti dengan niat bergurau senda antara mereka.
Bermula dengan tularnya lagu nyanyian Awie berjudul, ‘Nur Nilam Sari’ – lirik lagu itu diparodikan dari “Pinjam sinarmu Nur Nilam Sari, buatku merempuhi malam..” ke “Pinjam seratus Nur Nilam Sari, pinjam dahulu bayar nanti.” Lagu asal tulisan M. Nasir ini dinyanyikan oleh Awie dalam satu kolaborasi dengan kumpulan Search pada 1998.
Setelah lirik lagu itu tular, Awie sendiri menganggap insiden tular itu mengembalikan nostalgia lagu-lagu rok 90an yang pernah popular dulu.
Beliau pun turut terjebak dan menyanyikan serangkap dan dimuatn aikkan ke akaun TikToknya @awiealpamalo dengan kapsyen, “Aku pun terbabit, naye (aniaya)…”
Asalnya lagu ini diubah suai dalam bentuk bergurau bertujuan menyindir kepada mereka yang ada kerap meminjam, tapi liat bila hendak membayar.
Tanpa diduga, lagu serangkap ini menjadi tular dan ramai netizen menggunakannya untuk memancing kawan-kawan untuk meminjamkan seratus melalui wadah Whatsapp dan juga bersemuka.
Terkini, TikTok mendaftar hampir 300 juta “views” untuk muatan berkenaan ‘pinjam seratus’ yang telah mendapat perhatian di Singapura dan juga Indonesia.