Pak Cik ini nekad turunkan semua papan iklan Ah Long di seluruh kawasanya

Pengalaman melihat penderitaan jiran diugut Ah Long mendorong seorang ejen hartanah bertekad membersihkan kawasan kejiranannya di sekitar Puncak Alam, Selangor daripada segala bentuk pengiklanan ceti haram.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Tam, 45, itu mula menurunkan iklan pinjaman tidak berlesen secara sukarela sejak awal tahun ini.

Setiap pagi selepas solat Subuh, bapa kepada tiga anak yang berasal dari Kota Belud, Sabah itu menunggang motosikal di sekitar Puncak Alam untuk menurunkan kain rentang iklan ceti haram.

Tidak cukup dengan itu, beliau menyambung inisiatif itu pada sebelah petang, sebelum masuk waktu Maghrib.

“Saya akan ke setiap lorong di taman perumahan untuk mencari iklan Ah Long, walaupun ada perasaan takut sekiranya terserempak dengan kumpulan itu, namun saya tawakal kerana yakin Tuhan akan melindungi orang yang melakukan kebaikan.

“Setakat ini, saya belum terserempak dengan kumpulan Ah Long lagi,” katanya kepada FMT, sambil mengakui usaha murni itu bagi menyambung niat “orang lama” di kawasan berkenaan yang mahu Puncak Alam bebas daripada aktiviti ceti haram.

“Saya sebenarnya menyambung niat seorang sahabat sebelum ini yang sering turunkan iklan Ah Long di sini, namun beliau meninggal dunia akibat masalah kesihatan.”

Walaupun menganggap usaha itu kecil, namun bagi mualaf itu, ia sekurang-kurangnya dapat mengelakkan orang ramai meminjam daripada Ah Long yang mengenakan kadar faedah tinggi.

“Saya sedih melihat ada penduduk di sini jadi mangsa kekejaman Ah Long yang mengugut dan menyimbah rumah peminjam dengan cat, sebab itu kalau boleh elakkan meminjam dengan mereka.

“Saya turunkan iklan Ah Long ini pun supaya penduduk tidak nampak dan buat pinjaman dengan mereka,” katanya.

Kata Pak Tam, kerja sukarela itu bukan demi mempopularkan diri, tetapi sekadar menyumbang kepada masyarakat mengikut kemampuan diri.

“Ada juga jiran yang ambil gambar dan cuba tularkan di media sosial, sejak itu ramai penduduk menyedari tindakan saya.

“Mereka menyokong tindakan itu dan saya gembira mendapat respons positif,” kata bekas anggota Angkatan Pertahanan Awam itu.

Kini, Pak Tam terpaksa menghentikan usaha itu buat sementara, susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh.

Namun, beliau bertekad akan meneruskan usaha itu selepas tempohnya berakhir.

“Saya lihat iklan Ah Long pun sudah berkurangan di sini,” katanya.

sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/14/pak-tam-sukarela-turunkan-iklan-ah-long-dalam-usaha-elak-masyarakat-meminjam/

COMMENTS