Pakai pakaian wanita untuk larikan diri dari penjara, lelaki digelar ‘Gordito Lindo’. César Ortiz, yang juga ketua kumpulan jenayah Rotela melarikan diri daripada Penjara Tacumbú dengan hanya berjalan keluar melalui pintu masuk.
Heboh di Paraguay sejak beberapa hari lalu mengenai kisah seorang banduan yang meloloskan diri daripada penjara dengan berpakaian seperti wanita.
Menurut Oddity Central, Ortiz mendapat jolokan ‘Gordito Lindo’ atau ‘Gemuk Comel’ kerana menyamar sebagai wanita untuk mengaburi mata pengawal keselamatan.
Gambar dan rakaman video yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Paraguay menunjukkan penjenayah terbabit memakai rambut, bulu mata dan kuku palsu, gincu serta pakaian wanita.
Penyamarannya memberi kesan kepada orang ramai sehingga nama samaran ‘Gordito Lindo’ melekat.
Ortiz melarikan diri dengan berani selepas lawatan suami isteri.
Dia memasuki bilik persendirian bersama seorang wanita dan berjalan keluar dengan memakai pakaian wanita serta dapat memperdayakan pengawal keselamatan di beberapa pusat pemeriksaan.
Dalam video yang tular, dia dilihat keluar melalui pintu utama penjara dengan beberapa beg dan memakai pelitup muka.
Bagaimanapun, Ortiz tidak dapat melarikan diri dalam tempoh lama kerana polis menahannya beberapa jam kemudian.
Dia ditahan dan dijadualkan dipindahkan ke penjara lain atas sebab keselamatan.
Difahamkan, Ortiz sedang menjalani hukuman penjara tiga tahun, sembilan bulan dan 20 hari kerana melakukan serangan dan rompakan.
Hukumannya mungkin ditambah susulan percubaannya melarikan diri.
Siasatan berhubung caranya meloloskan diri daripada penjara sedang dijalankan dan pegawai keselamatan yang bertugas di pintu utama Penjara Kebangsaan Tacumbú digantung tugas.
Baca Juga: Buka pusat saringan palsu, remaja untung RM27 juta
Baca Juga: Satu-satunya jenama terkemuka dunia yang menyokong Johnny Depp sejak awal