Pakcik memanggil Liza seorang jururawat masuk ke biliknya. Agak lama pak cik itu berbual-bual dengan Liza. Daripada cerita Liza, saya mendapat tahu pak cik tersebut mahu sampaikan wasiatnya kepada Liza.
Apakah wasiat pak cik itu kepada Liza? Saya sendiri tidak tahu. Liza tidak pernah ceritakan kepada saya.
Bertugas sebagai jururawat, bermacam-macam gelagat pesakit yang saya saksikan. Banyak daripadanya juga memberi tauladan dalam kehidupan. Salah satu yang masih saya ingat ialah kisah seorang lelaki tua.
Kisah ini sudah lama berlaku, lebih sedekad yang lalu. Ketika itu, hospital tempat saya bertugas menerima seorang pesakit lelaki. Usianya penghujung 60-an.
Apa yang saya dengar, pak cik ini daripada keluarga berada. Anaknya berpangkat besar. Pak cik ini dimasukkan ke hospital kerana menghidap penyakit kanser usus selain kencing manis dan darah tinggi. Dia juga kelihatan terlalu uzur. Mungkin sebab sudah tua, tangannya sentiasa menggigil.
Selama berada di hospital, jarang sekali saya melihat anak-anaknya datang melawat. Saudara-mara dan sahabat handai jauh sekali untuk menjenguknya. Saya juga mendapat tahu, isteri pak cik ini telah meninggal dunia beberapa tahun sebelum itu.
Suatu hari, menantu perempuan pak cik ini yang berpangkat Datin datang melawat. Apabila Datin ini datang, bermacam-macam perkara yang tidak berkenan di matanya. Apa saja yang jururawat lakukan serba tidak kena.
Lambat beri makan, kena marah. Jururawat tak pandai suap, kena leter. Makanan tak sedap, kami kena bambu. Menantunya memang cerewet dan menyakitkan hati saya serta rakan-rakan setugas.
Akibat tidak tahan selalu dimarahi, saya dan beberapa orang jururawat senior menugaskan seorang jururawat pelatih bernama Liza untuk melayan pak cik tersebut. Biasanya begitulah cara jururawat senior hendak menyelamatkan diri.
Sejak itu, Liza bertanggungjawab melayan pak cik tersebut dengan penuh mesra. Mandi, makan dan minum pak cik itu dijaga serapi mungkin.
Suatu hari, ketika Liza sedang menyuapkan nasi, tiba-tiba pak cik itu menangis. Liza bertanya kenapa dia menangis? Pak cik tersebut memberitahu, dia terharu dengan layanan Liza.
Pak cik itu bercerita, seumur hidupnya sekalipun dia tidak pernah mendapat layanan sebegitu istimewa daripada anak-anaknya. Jangan kata hendak suapkan makanan, hendak menjaganya sepanjang uzur pun susah. Semua anak-anaknya sibuk dengan kerja masing-masing, siang dan malam.
Tapi, di hospital ini, pak cik itu berasakan layanan Liza lebih daripada kasih sayang anak kandungnya sendiri. Pak cik tersebut beritahu lagi, dia gembira kerana sebelum menutup matanya, sekurang-kurangnya dia dapat merasai nikmat dijaga jururawat yang dianggap seperti anak sendiri.
Panggil Liza
Esoknya, ketika sedang bertugas, pak cik tersebut meminta saya memanggil Liza masuk ke biliknya. Agak lama pak cik itu berbual-bual dengan Liza. Daripada cerita Liza, saya mendapat tahu pak cik tersebut mahu sampaikan wasiatnya kepada Liza.
Apakah wasiat pak cik itu kepada Liza? Saya sendiri tidak tahu. Liza tidak pernah ceritakan kepada saya. Tapi, apa yang menyedihkan, Liza beritahu saya, pak cik tersebut seolah-olah tahu ajalnya sudah tiba.
Pak cik itu kata, dia akan meninggal pada hari berkenaan. Pak cik itu sebenarnya ingin mati di sisi anak-anaknya. Dia mahu anak-anak mengajarnya mengucap ketika sedang nazak dan mengkiamkan tangannya apabila sudah meninggal dunia. Tetapi anak-anaknya sibuk dengan kerja masing-masing.
“Nak, tolong ajarkan pak cik mengucap…” Sebelum meninggal, pak cik tersebut minta Liza sendiri mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah. Liza pun bisikkanlah kalimah suci di telinga pak cik itu sehinggalah nafasnya terhenti.
Saya yang mendapat tahu berita kematian pak cik itu terus bergegas ke bilik tersebut. Waktu itu, saya lihat air mata pak cik tersebut masih mengalir dari kelopak matanya.
Saya sedih, hajat untuk menatap wajah anaknya di saat akhir tidak kesampaian. Saya lihat, jari-jemari orang tua itu masih menggenggam erat tangan Liza, seperti ingin mengucapkan rasa terima kasih kerana telah menjaganya seperti ayah kandung sendiri.
Liza juga menangis kerana sedih dengan pemergian pak cik itu. Saya turut sebak bila mengenangkan nasib yang menimpa orang tua itu. Hari itu juga mayat pak cik tersebut diuruskan oleh pihak hospital. Tapi saya tidak tahu di mana jenazahnya dikebumikan.
Memang sedih, mengenangkan kisah pak cik ini. Apalah ertinya membela dan membesarkan anak-anak jika mereka tidak berada di sisi, pada saat-saat kematian.
Saya teringat hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Apa bila mati anak Adam (seseorang), maka putuslah hubungan dengan dunia, kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh.”
**Kisah di atas diceritakan oleh seorang jururawat yang hanya mahu dikenali sebagai Rodziah berdasarkan pengalamannya bertugas di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur.