Panadol habis? Jangan risau, ada banyak lagi paracetamol jenama lain

Orang ramai sejak semalam mengeluh ekoran kesukaran mendapatkan bekalan paracetamol, ubat yang lazimnya digunakan bagi melegakan demam dan sakit kepala.

Ada yang mendakwa bekalan ubat itu terutamanya sebuah cap dagang terkemuka, Panadol langsung tidak dapat diperoleh walaupun sudah mencarinya di beberapa farmasi.

Bahagian rak yang mempamerkan bekalan ubat itu didapati kosong ekoran permintaan tinggi daripada pengguna lebih-lebih lagi ketika angka kes Covid-19 yang semakin melambung mutakhir ini.

Walau bagaimanapun, rasa panik kesukaran untuk membeli panadol tidak harus timbul memandangkan masih ada paracetamol jenama lain.

Pengguna Facebook, Rafidah Hurzaid menjelaskan ubat generik sama kualiti, efikasi dan selamat seperti ubat asal.

“Inilah masalah kalau pengguna dah biasa dengan “jenama”. Minta PCM (paracetamol) 500mg atau 650 mg bersepah saja di luar.

“Tapi pastikan lulus KKM dengan ada nombor MAL dan juga label hologram,” katanya.

Reaksi sama dilontarkan Md Nor Izzudin yang mengingatkan bahawa Panadol itu hanya jenama bagi paracetamol sahaja.

“Boleh saja beli jenama lain. Saya rasa farmasi masih ada paracetamol jenama lain.

“Antaranya, Poro 500mg. Panadol extend itu cuma dia 665 mg saja beza dengan yang lain. Kalau nak lagi baik, ambil saja yang 500 mg dua biji. Selesai masalah,” jelasnya.

Beliau turut menambah jenama lain lagi lebih murah berbanding Panadol.

“Satu biji Panadol boleh dapat tiga biji paracetamol jenama lain,” kata Nor Izzudin lagi.

COMMENTS