Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain dipanggil polis berhubung laporan gangguan seksual yang dibuat oleh seorang wanita terhadapnya.
Menurut laporan Kosmo, wanita itu adalah ahli jawatankuasa Srikandi Bersatu Bahagian Kota Tinggi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Hussin Zamora berkata, wakil rakyat itu dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi.
“ADUN telah dipanggil ke IPD Kota Tinggi semalam (untuk ambil keterangan). Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dipetik Kosmo.
Semalam, Rasman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Tinggi menafikan dakwaan gangguan seksual itu dan menyifatkannya sebagai konspirasi politik serta cubaan untuk menjatuhkan maruahnya.
Ini selepas polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang wanita berusia 26 tahun pada pagi Isnin yang mendakwa beberapa kali diganggu secara seksual oleh seorang ADUN Johor.