Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat menggantung sementara tugas imam masjid di sebuah kampung di Sungai Golok, yang dipercayai menjalankan akad nikah secara dalam talian seorang individu didakwa timbalan menteri di negara ini.
Astro Awani melaporkan, Timbalan Yang Dipertuanya, Abdul Aziz Che Mamat, berkata penggantungan tugas imam berkenaan berkuat kuasa selama enam bulan bagi membolehkan siasatan dijalankan ke atasnya.
“Imam berkenaan berusia 65 tahun, kita gantung tugasnya selama enam bulan bermula bulan Jun lepas. (Ia) selepas majlis akad nikah berkenaan, kita kenakan tindakan gantung tugas,” katanya ketika dihubungi.
Pada masa sama, katanya pihaknya akan memanggil semua imam di sempadan Malaysia-Thailand melibatkan daerah Sungai Golok dan Buketa, yang bersempadan dengan Kelantan dalam masa terdekat.
Abdul Aziz berkata, ia bertujuan untuk memberikan penerangan berhubung ketetapan Majlis Agama Islam Narathiwat yang tidak mengiktiraf pernikahan secara dalam talian.
Media pada 4 Julai melaporkan, Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat akan menjalankan siasatan berhubung isu majlis akad nikah berkenaan.
Abdul Aziz dilapor menjelaskan pihaknya tidak pernah mengiktiraf pernikahan secara dalam talian.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/151692/BERITA/Nasional/Isu-timbalan-menteri-nikah-online-Imam-Narathiwat-digantung-tugas