Panas isu lompat parti, ini latarbelakang Johari Abdul yang ramai tak tahu

Nama Johari Abdul sekarang sedang hangat diperkatakan dikalangan ahli politik selepas mengekalkan kerusi MP Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Namun, ramai tidak tahu latar belakang Speaker Dewan Rakyat di bawah kerajaan madani ini.

Datuk Johari Abdul yang dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun, bukan sahaja berpengalaman dalam bidang politik tetapi juga mahir dalam pentadbiran kerajaan.

Beliau yang berumur 68 tahun ini pernah menjadi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), mula memasuki gelanggang politik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 dengan bertanding atas tiket PKR di Parlimen Sungai Petani, Kedah, pada November 1999, namun tewas.

Beliau kemudian bertanding di peringkat DUN di kawasan Batu Arang, Selangor pada PRU ke-11, tetapi turut menerima nasib yang sama.

Tewas dua kali ketika bertanding dalam PRU tidak mematahkan semangatnya, sebaliknya bapa kepada lapan orang cahaya mata ini, terus mencuba pada PRU ke-12 sebelum berjaya merampas kawasan Parlimen Sungai Petani dan berjaya mempertahan kerusi itu selama tiga penggal.

Lulusan Ijazah Sarjana Pengajian Strategik dari Lancaster University, England dan Sarjana Muda Pengajian Asia Selatan Universiti Malaya (UM) ini turut menempa sejarah pada PRU ke-14, apabila berjaya memenangi kawasan DUN Gurun dan Parlimen Sungai Petani.

Beliau tidak bertanding pada PRU15, sebaliknya digantikan anaknya, Dr Mohammed Taufiq Johari, 26, yang memenangi kerusi berkenaan sekali gus menyaksikan dua beranak itu, kini bergandingan di Dewan Rakyat.

Dalam bidang pentadbiran awam dan pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) pula, Johari pernah menyandang jawatan sebagai Pengarah Biro Tatanegara, Pegawai Tadbir dan Diplomatik, Pengarah Pelaburan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), dan Pengarah Yayasan Gerak Bakti Kebangsaan.

Pada 2009, beliau dianugerahkan darjah kebesaran Dato’ Setia Diraja Kedah yang membawa gelaran ‘Datuk’. 

Baca: Pelik kenapa Aliff Teega dan isteri kena bawah SPRM tapi bukan polis? Ini jawapannya