Panas !!! Ketua Pemuda UMNO dan PAS berperang hangat di Media Sosial

Ketua Pemuda Pas sindir Asyraf dua kali kalah tanding pilihanraya.Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari sebentar tadi dilihat menyindir Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dengan mengaitkan kegagalan untuk memenangi pilihan raya.

Sindiran Ahli Parlimen Pasir Mas itu ekoran reaksi Asyraf berhubung keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kelmarin.

Bekas calon Barisan Nasional (BN), Parlimen Pasir Puteh pada PRU 2018 itu meminta agar Fadhli tidak bersikap angkuh dengan menyatakan Pas dan Perikatan Nasional (PN) masih mampu menggugat Barisan Nasional (BN) di Melaka.

Sehubungan itu, Fadhli, 41, menegaskan tidak ada pun dia sebelum ini menyatakan Pas mahu menggugat kubu BN seperti didakwa Asyraf, 45.

“Bacalah betul-betul sebelum buat komen tu, anda ‘kan Ketua Pergerakan Pemuda.

“Belajar cari kenyataan asal, copy paste ke dalam Microsoft Word, gunakan kekunci Ctrl+F dan cari perkataan ‘gugat’.

“Yang anda akan jumpa ialah, ‘Sekiranya PH masih bermain dengan sentimen yang menggugat keharmonian negara dan kerukunan Keluarga Malaysia, tidak mustahil hanya DAP yang akan kekal, dan parti lain akan terus tersungkur’

“Takkanlah nak buat kerja senang macam tu pun tak boleh. Yang sebut perkataan ‘gugat’ itu ialah Utusan. Buat kerja rumah sikit ye, jaga taraf kita (Ketua Pemuda) tu.

“Ops maaf, dua kali bertanding pilihanraya dua kali kalah, what you expect,” kata Fadhli diakhiri dengan emoji 🙂

Semalam, Ahmad Fadhli dalam kenyataan medianya menyebut Pas dan PN telah menunjukkan kemampuan yang memberangsangkan dalam PRN Melaka sebagai pasukan yang dilihat ‘underdog’.

“Walaupun telahan awal menjangkakan PN akan ‘bungkus’ di semua kerusi, ternyata PN berjaya merampas dua kerusi DUN yang dimenangi BN dan DAP sebelum ini, serta berada di tempat kedua di beberapa kerusi majoriti Melayu,” katanya.

Bahkan, walaupun Pas kalah dalam lapan kerusi DUN ditandingi, Ahmad Fadhli masih mendakwa parti itu “mencatatkan keputusan yang amat memberangsangkan”.

“Pas juga mencatatkan keputusan yang amat memberangsangkan apabila hampir merampas kerusi DUN Serkam dengan majoriti yang amat tipis (79 undi), serta mencatatkan pertambahan undi di semua kawasan yang ditandingi kecuali di DUN Duyong, di sebalik penurunan mendadak peratusan keluar mengundi.

“Ini merupakan petanda awal kemampuan Pas dan PN di kubu kuat BN di Melaka, yang tidak boleh dipandang enteng oleh semua parti,” tegas Ahmad Fadhli lagi.

sumber : https://www.gemilangdaily.com/ketua-pemuda-pas-sindir-asyraf-dua-kali-kalah-tanding-pilihanraya/