Beberapa hari lalu, seorang pakar perancang pengangkutan telah mengeluarkan kenyataan supaya motosikal kapcai dikeluarkan secara berperingkat daripada pasaran lalu digantikan dengan dengan motosikal elektrik berkuasa rendah.
“Di Malaysia, ‘kapcai’ adalah jentera pembunuh yang mengakibatkan banyak kematian – secara purata 4,100 kematian setahun dalam tempoh 12 tahun – dan ini adalah kehilangan produktiviti bagi negara,” terangnya pada satu program bual bicara di Astro Awani.
Memetik portal Free Malaysia Today, perancang pengangkutan itu turut mendakwa terdapat 15.2 juta motosikal berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), 90% daripadanya adalah model ‘kapcai’ dan statistik terkini menunjukkan bahawa Malaysia semakin hampir menggantikan Thailand sebagai negara paling berbahaya bagi penunggang motosikal.
“Kita perlu fikir sama ada kita mahu mengekalkan atau tidak motosikal jenis ini atau perlahan-perlahan menghapuskannya secara berperingkat,” kata perancang pengangkutan tersebut.
Kenyataan yang dibuat itu telah menyebabkan netizen berasa tidak puas hati dan marah kerana bukan mudah serta murah jika orang ramai perlu ‘menggantikan’ motosikal dalam keadaan yang masih belum stabil ekoran COVID-19 melanda negara ketika waktu ini.
Bahkan pelbagai faktor lain perlu diambil kira bagaimana penunggang motosikal maut semasa membawa motosikal di atas jalan raya seperti permukaan jalan, kelalaian penunggang motosikal atau pengguna jalan raya lain.
Isu tersebut turut menarik perhatian pelawak terkenal, Achey Bocey yang memuat naik video reaksi balas terhadap kenyataan yang dibuat oleh pakar perancang pengangkutan tersebut.
“Pak iman-pak iman pergi ke masjid menaiki Ducati Panigale. Penghantar-penghantar makanan, posmen-posmen hantar surat akan naik Ducati Multistrada.
“Aku boleh bayangkan penuh superbike dekat Malaysia kita ini,” luah Achey dalam video reaksi balas tersebut.
sumber : Info rakyat