Berita dipetik dari FMT
PKR tidak menolak kemungkinan berlaku pertembungan sesama sendiri dengan DAP pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, kata pemangku Pengerusi PKR negeri Abang Zulkifli Abang Engkeh.
Abang Zulkifli berkata, jika persetujuan gagal dicapai menjelang hari penamaan calon, pertembungan dua parti pembangkang dari Semenanjung itu dijangka berlaku.
“Kemungkinan tiga penjuru (GPS, PKR dan DAP) memang ada. Dalam mesyuarat PH pada 25 Nov lalu, kita bersetuju untuk berunding (pembahagian kerusi) dengan Majlis Pakatan Harapan (PH) pusat, tetapi Chong (Chong Chieng Jen) mungkir.
“PKR Sarawak juga ada autonominya sendiri dan kini kami masih mengusahakan yang terbaik (menyelesaikan kemelut),” katanya menurut laporan Harian Metro.
Pada Khamis, Pengerusi DAP negeri Chong Chieng Jen terlebih dahulu mengumumkan 18 calon untuk bertanding mewakili parti itu, sekali gus mengingkari keputusan dibuat pada mesyuarat PH Sarawak, Khamis lalu.
DAP Sarawak turut mengumumkan empat kawasan yang dituntut PKR membabitkan Kemena, Senadin, Pujut dan Piasau.
Terdahulu, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak mendakwa, perjanjian ditandatangani antara bekas Pengerusi PKR Sarawak Larry Sng dengan DAP sebelum ini sebagai tidak sah dan tidak boleh diguna pakai kerana dibuat tanpa persetujuan akar umbi.
Larry kemudian keluar daripada PKR pada Feb 2021.
Sementara itu, Chong menggesa PKR memberi tumpuan kepada 47 kawasan yang sudah dipersetujui ditandingi parti itu dan tidak membazir masa serta tenaga berebut kerusi.
“Sebelum tiga parti (PKR, DAP dan Amanah) menandatangani perjanjian peruntukan kerusi pada 2 Jan 2021, kita mengadakan beberapa pusingan rundingan, bukan sahaja dengan Larry Sng tetapi bersama beberapa ahli jawatankuasa negeri PKR lain seperti Joshua Jabeng (Setiausaha PKR Sarawak), malah Abang Zulkifli turut hadir dalam rundingan itu.
“Pada hari itu, Larry Sng menandatanganinya hasil persetujuan semua MPN PKR Sarawak bukan dia (Larry Sng) sahaja. Tetapi kerana Larry meninggalkan parti selepas itu, tidak bermakna keputusan keseluruhan jawatankuasa negeri sebelum ini adalah batal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Chong berkata, perjanjian itu dibuat antara semua pihak berkepentingan dan pertukaran salah seorang pemegang jawatan (yang menandatangani) tidak menjejaskan kesahihan perjanjian.
“Kami di pihak DAP juga sudah melepaskan beberapa kerusi hanya untuk mencapai persetujuan itu,” katanya. – FMT