Panas !!! PKR sedia dengan gelombang perletakan jawatan pemimpinya di Melaka

PKR Melaka bersedia menunggu peletakan jawatan ahli-ahlinya berkait apa yang digelar “kartel” bekas pemimpin parti.

Ketua PKR negeri, Halim Bachik memberitahu FMT, beliau tidak menolak kemungkinan beberapa peletakan jawatan bulan depan dalam kalangan penyokong individu yang akan ditolak sebagai calon pada pilihan raya negeri (PRN) 20 Nov.

Namun, tambahnya, beliau menjangkakan “hanya beberapa orang” akan meletak jawatan.

Penganalisis politik baru-baru ini memberi amaran kepada PKR bahawa kegagalannya untuk menggugurkan pemimpin terbabit daripada senarai calonnya boleh mengukuhkan pengaruh mereka.


Halim Bachik.

Ditanya sama ada PKR terbuka untuk menerima tiga atau empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mencetuskan kejatuhan kerajaan negeri untuk bertanding bawah panji Pakatan Harapan (PH), Halim berkata, beliau menyerahkan perkara ini kepada kepimpinan pusat parti.

PH belum membuat keputusan sama ada ia akan membenarkan bekas Ketua Menteri dan penyandang kerusi Sungai Udang Idris Haron, Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) bertanding bawah panji PH.

Gabungan itu telah menolak penyandang kerusi Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee, yang juga bekas ahli DAP, daripada menjadi calon bawah panjinya.

Halim berkata Idris, Effandi dan Nor Azman akan menjadi aset berharga kepada mana-mana parti.

Beliau mempertahankan tindakan keempat-empat ADUN terbabit, dengan berkata, mereka tidak akan menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) tanpa alasan kukuh.

“Pandangan saya tentang empat orang (ADUN ini), (apa mereka buat) adalah sebenarnya untuk menyelamatkan Melaka,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tetap dengan pendiriannya bahawa DUN tidak perlu dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya ketika wabak Covid-19 masih menular.

sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/10/28/pkr-sedia-tunggu-peletakan-jawatan-menjelang-prn-melaka/