Panas !!! Rauf tolak dakwaan dirinya adalah dalang dibelakang Ketua Menteri

Berita ini dipetik dari FMT

Ketua Umno Melaka Ab Rauf Yusof menolak dakwaan yang mengatakan beliau adalah “dalang” di belakang Ketua Menteri sebelum ini, Sulaiman Md Ali sambil menegaskan tohmahan itu hanya untuk mengalih perhatian daripada krisis politik di negeri itu, baru-baru ini.

Dalam temubual dengan FMT, beliau juga menafikan tuduhan kononnya wujud perumpamaan “ada dua singa di atas bukit” dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN) itu, seperti didakwa bekas Ketua Menteri Idris Haron.

Rauf berkata, beliau dan Sulaiman telah menggariskan satu sempadan persefahaman selain sedar kerajaan negeri tidak dapat berfungsi dengan sendirinya sekiranya ada campur tangan luar.

“Jadi secara kebetulan, waktu dan ketika ini saya adalah Ketua Umno Melaka yang mengurus tadbir hal ehwal politik,” katanya.

“Kebersamaan ini dilihat seolah-olah ada campur tangan di antara saya dan Ketua Menteri.

“Pada hakikatnya, ia tidak berlaku sedemikian. Sebagai seorang yang berpengalaman mengatur pentadbiran negeri, Ketua Menteri tahu bagaimana untuk menguruskan kerajaan negeri.

“Jadi saya rasa tohmahan ini adalah untuk mengelak daripada isu sebenar yang berlaku. Krisis politik dalam Melaka ini ialah akibat daripada kehendak Idris untuk menjadi ketua menteri sekali lagi.”

Beliau mendakwa bahawa Idris telah memberi persepsi negatif di kalangan rakyat Melaka selain menjelaskan tidak ada urusan dalam kerajaan negeri yang harus mendapatkan kelulusan daripada seorang ketua parti.

“Semua yang dikatakan Idris adalah tidak betul. Mengapa saya perlu memberi respon kepada perkara yang tidak betul? Bagi saya, Idris Haron tidak lagi menjadi isu politik kepada kami. Beliau pun sudah beralih arah dan duduk dalam sebuah parti yang menentang perjuangan Umno.”

Idris kini adalah calon PKR yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.

“Saya tidak mahu mengulas lebih untuk mempertahankan diri daripada tohmahan ini,” kata Rauf.

Katanya, beliau juga tidak mempunyai masalah dengan keputusan kepimpinan Umno yang menamakan Sulaiman sebagai calon Ketua Menteri sekali lagi kerana dirinya adalah orang parti dan sentiasa akur dengan keputusan mereka.

“Terserah kepada kebijaksanaan pimpinan untuk mengaturkan bagaimana kerajaan ini mesti diurus tadbir. Sebagai ahli parti, kita kena terima kenyataan ini.”

sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/11/11/saya-bukan-dalang-kata-rauf/