Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan menafikan bahawa kabinet “mengubah tiang gol” berhubung tempoh darurat.
Sebaliknya, dia berkata kabinet hanya “memperbetulkan” peraturan untuk membantu “pengadil” membuat keputusan yang tepat.
“Tiada siapa yang alih tiang gol, yang dibuat adalah betulkan peraturan permainan supaya membantu referee buat pengadilan yang betul.
“‘Untuk mencapai matlamat tidak bermaksud mengubah tiang gol,” katanya menerusi Twitter malam tadi.
Tidak jelas apa yang dimaksudkannya dengan “membetulkan” peraturan permainan.
Takiyuddin memberi respon terhadap Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said yang mengkritik kenyataannya bahawa kabinet akan memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai sama ada darurat akan dilanjutkan atau tidak.
Azalina dan yang lain berpendapat bahawa langkah menasihati Agong mengenai tempoh darurat adalah tugas jawatankuasa khas bebas yang ditubuhkan untuk tujuan itu.
Ditubuhkan di bawah Seksyen 2 (1) Ordinan Darurat 2021, jawatankuasa bebas yang dianggotai oleh 19 orang mempunyai tugas untuk memberi nasihat kepada Agong mengenai waktu darurat harus berakhir.
Peguam Haniff Khatri, berpendapat bahawa oleh kerana peranan jawatankuasa tersebut termaktub dalam Ordinan Darurat – kerajaan telah mengalihkan tanggungjawab untuk memberi nasihat kepada Agong tentang tempoh darurat dari kabinet kepada jawatankuasa berkenaan.
Darurat yang sebelum ini dinyatakan untuk menangani peningkatan kes Covid-19 akan berakhir pada 1 Ogos.
Takiyuddin sebelum ini menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab kabinet untuk menasihati Agong mengenai tempoh darurat sebagai respons kepada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.
Noor Hisham dipetik oleh Malay Mail sebagai berkata bahawa hanya Agong yang mempunyai budi bicara berhubung tempoh darurat.
sumber : https://www.malaysiakini.com/news/578704