Panas!!! Tun Mahathir sedia lawan Azmin

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menawarkan diri untuk menjadi saksi dalam kes saman ke atas Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali oleh 10 pengundi di kawasan berkenaan.

Mengangap 10 individu terbabit sebagai orang yang berani, Mahathir berkata mahkamah memang forum paling sesuai untuk mengesahkan dakwaan-dakwaan yang dikemukakan mereka.

“Saya melihat keberanian rakyat mempersoal kredibiliti dan integriti seorang ahli parlimen seperti Azmin sebagai satu proses mematangkan pendemokrasian negara.

“Saya sedia menawarkan diri sebagai saksi di mahkamah sekiranya keterangan saya diperlukan.

“Saya sedia membantu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, 10 pengundi berdaftar di kawasan parlimen Gombak memfailkan saman itu dengan mandakwa Azmin menipu dan melanggar kewajipan fidusiari melalui ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Feb lalu.

Mereka menamakan ahli menteri kanan Perikatan Nasional (PN) itu sebagai defendan tunggal.

Antara lain, mereka yang mengundi pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu dengan bergantung pada representasi Azmin ketika itu untuk menyingkirkan BN dan pegawai awam yang korup.

Bukan untuk jawatan atau kuasa

Kata mereka, Azmin bertukar sepenuhnya dengan menyertai kerajaan bersama BN yang dikutuk sekeras-kerasnya ketika bertanding dahulu, dan dengan itu, memungkiri reprentasi yang dibuatnya dulu.

Oleh itu, mereka memohon deklarasi bahawa menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu melanggar kewajipan fidusiarinya dan tugas-tugas yang terhutang kepada plaintif selain melakukan penipuan terhadap mereka.

Untuk rekod, Azmin menyandang jawatan ahli parlimen Gombak selama tiga penggal – sejak 2008 – melalui tiket PKR sebelum dia meninggalkan parti itu dan bekerjasama dengan Umno dan BN sebelum menyertai Bersatu.

Kata Mahathir, dia turut difahamkan saman itu dikemukakan kerana Azmin memungkiri sumpah setia selaku ahli parlimen, mengabaikan amanah kepada pengundi untuk kepentingan diri, dan tidak menghiraukan janji semasa kempen PRU ke-14 selain melakukan salah laku penipuan (tort of deceive).

Memetik beberapa hal yang dibangkitkan dalam tuntutan itu – antaranya Langkah Sheraton, kerjasama dengan pemimpin BN dan mereka yang terlibat dalam tuduhan jenayah – Mahathir berkata, semua hal itu telah pun bangkitkannya berkali-kali sebelum ini.

“Wakil rakyat atau ahli parlimen harus faham bahawa rakyat memilih kita sebagai wakil mereka untuk bersuara di parlimen dan memimpin mereka bukannya untuk kepentingan diri dan mendapatkan jawatan serta kuasa,” katanya lagi.

Dalam tuntutan berkenaan, plaintif menuntut ganti rugi keterlaluan dan teladan, kos dan perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Melalui semakan butiran mahkamah, kes itu ditetapkan Jumaat ini di hadapan Timbalan Pendaftar Maslinda Selamat

sumber: https://www.malaysiakini.com/news/553467