Panas!! UMNO Pagoh tidak akan beri laluan untuk Muhyidin bertanding di situ

Tidak seperti yang dijangka, Umno Pagoh sebulat suara enggan memberikan laluan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mempertahankan kerusi parlimen itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ketua Umno Pagoh Ismail Mohamed berkata pendirian mereka itu diharap dapat didengar oleh kepimpinan tertinggi parti.

Menurut Ismail dalam mesyuarat perwakilan bahagian itu hari ini ahli Umno bersepakat menolak keputusan Umno Johor yang dibuat sebelum ini.

“Saya harap mereka (Majlis Tertinggi Umno) dapat mendengar kami (ahli akar umbi) dan membenarkan Umno Pagoh bertanding di kerusi parlimen dan dua DUN (di bawahnya).

“Kami menghormati keputusan Umno negeri tetapi kami harap mereka juga menghormati pendirian kami,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today malam ini.

Terdahulu Ketua Penerangan Umno Johor Dr Adham Baba memaklumkan kepada pucuk pimpinan parti itu agar Muhyiddin diberi laluan terus bertanding di Pagoh bagi mewakili calon kerajaan.

“Muhyiddin seharusnya diberi laluan untuk kekal bertanding di Pagoh,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.

Adham yang dipilih Muhyiddin menjadi menteri kesihatan berkata pendirian tersebut diambil dengan mengambil kira pengalaman dan kecekapan Muhyiddin selaku perdana menteri mentadbir negara.

Untuk rekod dua lagi kerusi DUN yang ingin tetap ditandingi Umno Pagoh ialah Bukit Kepong dan Bukit Pasir.

Dalam PRU ke-14 Bukit Kepong dimenangi Dr Sahruddin Jamal yang kemudian dilantik menjadi menteri besar Johor sebelum tempatnya diambil alih oleh Umno selepas berlaku pertukaran kerajaan.

Bukit Pasir pula dimenangi calon PAS, Najib Lep.

Kedua-dua mereka mengalahkan calon Umno/BN masing-masing dengan kelebihan 1,273 undi dan 1883 undi.

Muhyiddin mewakili parlimen Pagoh sejak 1978.

Ismail berkata pada Nov tahun lalu Umno Johor membuat keputusan untuk bertanding di semua kerusi parlimen negeri itu bersama rakan komponen dalam BN dengan pengecualian Pagoh.

sumber: https://www.malaysiakini.com/news/557402