Berita ini dipetik dari FMT
Dua pemimpin PAS, Idris Ahmad dan Awang Hashim, dilihat “mengasak” seorang wartawan FMT yang menyoal isu penutupan kedai nombor ekor oleh kerajaan pimpinan parti itu di Kedah.
Idris adalah Naib Presiden PAS dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) manakala Awang Hashim adalah Ahli Parlimen Pendang dan Timbalan Menteri Sumber Manusia.
Apabila ditanya oleh wartawan Minderjeet Kaur mengenai rasa khuatir kalangan masyarakat terhadap keputusan Kedah itu, Idris menyoal sama ada beliau (Minderjeet) boleh menerima jika suaminya “kaki judi”.
Manakala, Awang mahu tahu sama ada Minderjeet warga Malaysia selepas menegurnya kerana bertanya soalan dalam Bahasa Inggeris.
“Asakan” dua pemimpin PAS itu menyusul setelah Minderjeet meminta penjelasan Idris mengenai keputusan kerajaan Kedah tidak lagi memperbaharui lesen perniagaan kedai nombor ekor.
Idris mendakwa “semua orang termasuk Muslim dan bukan Muslim tidak setuju dengan judi”.
Apabila ditanya oleh Minderjeet bagaimana menteri itu pasti dengan kenyataannya itu, Idris berkata langkah seperti di Kedah sudah dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu yang mana ia diterima baik oleh masyarakat bukan Muslim di sana.
Ketika Minderjeet bertanya rasa khuatir kalangan orang ramai jika penutupan kedai nombor ekor diperluaskan ke negeri lain, Awang mencelah dan menegur wartawan itu.
Awang: You tanya Bahasa Melayu lah, you are Malaysian or not? (Awak warga Malaysia atau tidak?).
Minderjeet: I am a Malaysian certainly, (sudah tentu saya warga Malaysia).
Awang: You cakap Bahasa Melayulah.
Minderjeet: Please don’t do that to me (tolong jangan layan saya sedemikian).
Awang: You also proper ask the question, you know. You want me to respect you, you must respect us first…you cakap Melayu boleh tak? (Anda pun kena tanya soalan cara baik, tahu tak. Anda mahu saya hormati anda tapi anda kena hormat kami dulu).
Seterusnya, apabila Minderjeet sekali lagi bertanya Idris mengenai rasa khuatir pihak tertentu atas tindakan diambil di Kedah, beliau membalas balik dengan soalan berikut.
Idris: You setuju ke kalau suami you kaki judi? I tanya you dulu.
Minderjeet: It is not about my family (Ini bukan pasal keluarga saya).
Idris: You kena jawab my question dulu. Okay, itu cukuplah.
Wawancara itu diadakan selepas majlis pelancaran manifesto Perikatan Nasional (PN) oleh Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin petang tadi yang dihadiri Idris dan Awang.
Minderjeet, wartawan veteran FMT ditugaskan membuat liputan acara itu.
Petang tadi, pemimpin MCA dan MIC senada menegur Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor susulan tindakannya mengharamkan kedai nombor ekor beroperasi di negeri itu.
Naib Presiden MIC, T Mohan, menyifatkan Sanusi tidak menghormati bangsa lain di negeri itu, dan mencari publisiti murahan.
“Saya lihat (tindakan Sanusi) tidak logik. Kadang-kadang Menteri Besar Kedah ini suka publisiti murahan. Nak publisiti, (Sanusi) biasa buat macam itu nak dapatkan sokongan,” katanya kepada FMT.
Setiausaha Agung MCA, Choon Sin Woon, berkata tindakan Sanusi itu memberi mesej salah kepada masyarakat majmuk di negara ini.
“Saya fikir mana-mana kerajaan di negara ini harus mengakui dan menghormati kepelbagaian budaya. Apa yang harus kita pertahankan ialah kebebasan dan pilihan oleh rakyat untuk hidup dengan cara yang mereka pilih,” katanya.
Sebelum itu, Sanusi mengumumkan kerajaan Kedah tidak akan memperbaharui lesen perniagaan kedai nombor ekor dalam usaha menjadikan negeri itu bebas aktiviti perjudian.
Sanusi berkata, aktiviti perjudian menyebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan dan tamadun, selain masalah hutang.
Beliau berkata, penjualan minuman keras di semua premis juga akan dihadkan, khususnya kawasan luar bandar yang tiada permintaan.
sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/11/14/persoal-langkah-kedah-haram-kedai-nombor-ekor-wartawan-fmt-diasak-2-pemimpin-pas/