PAS akan kehilangan kerajaan negeri Kedah selepas Umno tarik diri, ini jawapan Sanusi

Tindakan UMNO menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak memberi kesan kepada kerajaan Kedah.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata ini kerana kerajaan negeri di bawah pimpinan PAS masih mempunyai majoriti.

“Di Kedah tiada isu, PAS mempunyai 15 kerusi dan BERSATU memiliki enam kerusi, manakala UMNO dua kerusi menjadikan kesemuanya 23 kerusi.

“Majoriti mudah kita perlu 19 kerusi sahaja, ia tidak memberi kesan kepada Kedah,” katanya yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat ketika dihubungi hari ini.

Pada Mei tahun lalu, PN membentuk kerajaan negeri baharu di Kedah selepas mendapat sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk daripada BERSATU.

Pakatan Harapan (PH) pula mempunyai 13 kerusi yang terdiri daripada PKR sebanyak lima kerusi, Parti Amanah Negara (AMANAH) empat kerusi, dan masing-masing DAP serta Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dua kerusi.

Semalam, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal di mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/846910/kedah-tidak-terkesan-dengan-tindakan-umno