PAS bersungguh mahu jumpa UMNO bincang PRN, MB Johor beri alasan sibuk

Sehari selepas BN menyatakan hasrat gabungan itu untuk bergerak secara solo, PAS Johor menyatakan mereka sedang cuba bertemu dengan Menteri Besar Hasni Mohammad.

Memetik dari Malaysiakini, Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin berkata pertemuan tersebut diusahakan agar kedua-dua parti dapat berbincang mengenai PRN akan datang dalam semangat Muafakat Nasional (MN).

Bagaimanapun Abdullah yang dipetik portal berita rasmi PAS, harakahdaily, menyatakan mereka cuba bertemu dengan Hasni semalam namun diberitahu pengerusi Umno Johor itu sedang sibuk.

“Kita (PAS) berusaha untuk bertemu dengan pimpinan Umno negeri dalam masa terdekat untuk berbincang mengenai persefahaman kita,” katanya.

Kelmarin media melaporkan BN Johor bercadang untuk bertanding sendirian dan yakin mampu menguasai dua per tiga daripada 56 kerusi dewan undangan negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Bagaimanapun Hasni menambah keputusan muktamad mengenai langkah itu tertakluk kepada ketentuan pucuk pimpinan tertinggi parti terbabit di peringkat pusat.

Untuk rekod PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan selepas berlaku pertukaran – tanpa melalui pilihan raya – di Johor pada penghujung Feb 2020 lalu. Parti itu mempunyai seorang wakil dalam DUN Johor di sebalik 40 calon yang diturunkan pada PRU ke-14 lalu.

Baru-baru ini PAS menyatakan pandangan mereka bahawa PRN tidak wajar diadakan sekarang. Ia senada dengan hampir semua parti yang terlibat dalam PRN Johor.

Kata Abdullah, PAS Johor berpendapat kenyataan Hasni itu adalah pandangan Umno Johor saja.

Keputusan akhir, katanya, tetap terletak pada ketetapak Majlis Kerja Tertinggi Umno dan PAS Pusat.

Pada masa sama, Abdullah yakin masih ada ruang untuk PAS dan Umno berbincang melalui MN – sebuah pakatan yang ditandatangani kedua-dua parti sebelum mereka menjadi kerajaan dulu.