Pas dakwa dosa terampun dengan sebab kemenangan Islam, tutup premis judi jika menang

Pas mengeluarkan ‘dalil’ bahawa dosa terampun dengan sebab kemenangan Islam iaitu kemenangan parti itu dalam pilihan raya.

Malah menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Pulau Pinang, parti pembangkang itu menegaskan pihaknya akan menutup premis perjudian supaya dosa terhenti.

Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kemenangan Islam dalam pilihan raya akan menyebabkan dosa-dosa golongan terdahulu diampunkan seperti dinyatakan Allah SWT di dalam al-Quran.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yang memetik sirah kemenangan Rasulullah SAW berkata, keampunan Ilahi disebabkan berlakunya perubahan kepada pentadbiran yang menghapuskan maksiat yang telah dibenarkan oleh pentadbiran terdahulu.

“Allah SWT menjelaskan kemenangan Islam tujuan pertama dan besar ialah kerana Allah SWT nak ampun dosa yang dulu dan dosa yang kemudian.

“Dengan kemenangan Islam kita boleh betulkan dasar yang tak betul, kemungkaran yang dibenarkan zaman dulu, contohnya perjudian,” katanya, dipetik Harakahdaily, semalam.

Namun, semakan terhadap tajuk laporan berita itu, “Dosa terampun dengan sebab kemenangan Islam” mendapati ia tidak lagi dapat diakses dipercayai telah dipadam.

Berucap merasmikan mesyuarat agung Pas Kawasan Port Dickson kelmarin, Tuan Ibrahim berkata premis perjudian wujud kerana kelulusan diberi oleh pemimpin yang berkuasa dengan mendapat kuasa melalui pilihan raya.

Lebih mengejutkan, bekas Menteri Alam Sekitar dan Air itu mendakwa pemimpin terbabit mendapat kuasa hasil sokongan rakyat terdahulu yang menyebabkan semuanya bersekongkol dengan maksiat itu.

“Macam mana kita nak hentikan? Kita berjuang. Bila kita menang kita tutup premis perjudian, supaya dosa tadi terhenti.

“Bukan sahaja dosa yang dulu diampun oleh Allah SWT, tetapi juga dan dosa yang akan datang,” katanya.

Malah, Tuan Ibrahim memberikan contoh perubahan dilakukan Pas selepas berjaya mengambil alih pentadbiran Kelantan sebelum ini.

Katanya, pentadbiran baru itu telah menyemak semula dan menghentikan dasar-dasar yang bercanggah dengan Islam.

“Mana yang tak bercanggah kita benarkan. Ada proses-proses yang kita alami. Demikian juga kita menang di Terengganu.

“Kita tak tutup terus bar, disko, kelab malam. Tetapi kita ada proses, ada kaedah-kaedah yang kita buat, ada aulawiyat.

“Mana yang perlu utama dulu, mana yang perlu kemudian. Sebab kena teliti, kena hati-hati.

“Allah SWT bila mana mengharamkan arak ada tiga peringkat.

“Demikian juga Allah SWT dalam waktu menetapkan sesuatu hukum, ia tidak akan mengejut tiba-tiba sahaja,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Periksa 2 benda ini je pada kipas kalau mati, jimat duit tak perlu beli baru