PAS iktiraf dimensi baru politik, dijangka akan berbaik dengan Amanah

PAS menyifatkan pertemuan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebagai satu dimensi baru politik negara.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia seiring dengan titah Yang di-Pertuan Agong agar Ahli-ahli Dewan Rakyat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati berusaha menangani Covid-19.

“PAS berharap budaya politik matang yang mengutamakan kesejahteraan negara menjadi dimensi baharu bagi setiap bentuk sikap, pemikiran dan tindakan yang diterjemahkan oleh ahli-ahli politik.

“Jadilah pemimpin yang menjadi tauladan kepada seluruh rakyat jelata,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Malaysiakini semalam melaporkan ketua pembangkang yang juga Presiden PKR Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri.

Turut serta dalam pertemuan itu Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pertemuan itu antara lain menyatakan persetujuan mewujudkan keadaan lebih kondusif dalam pelbagai perkara untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia.

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata, pendekatan PAS melalui budaya politik matang sejahtera (BPMS) melihat suasana semak dan imbang yang diperanankan oleh pembangkang merupakan suatu budaya politik yang mesti diperkasakan.

“Segala tindakan kerajaan yang baik untuk negara didukung manakala yang salah diperbetulkan.

“Budaya berpolitik yang mengutamakan perdamaian boleh diterjemahkan dengan penuh professional secara berdiplomasi dengan pihak berkaitan bagi menangani sesuatu isu rakyat dan negara,” jelasnya.

SUMBER : https://www.malaysiakini.com/news/588726