Patut cepat naik, ini rahsia perniagaan 99speedmart yang ramai tak tahu

Lee Thiam Wah baru saja merasai hidup di dunia selama 8 bulan, sebelum dirinya diserang penyakit poliomyelitis atau polio.

Kekurangan upaya disebabkan penyakit itu menyebabkan Lee terpaksa menghabiskan masanya di rumah bersama nenek, sementara ibu bapanya pergi mencari rezeki membesarkan 10 orang anak mereka.

Lee yang baru berumur 8 bulan kehilangan keupayaan menggunakan kaki dan ketika dia membesar menjadi kanak-kanak, dia hanya mampu melihat adik beradiknya bermain riang sementara dia terpaksa duduk di kerusi roda ke sana sini. Bagi masyarakat Cina, lahir dalam tahun naga mampu membuatkan seseorang itu mempunyai semangat untuk hidup yang kuat. Lee yang terpaksa berkerusi roda tahu dia perlu mengubah nasibnya sendiri.

Keadaannya yang kurang upaya memaksa Lee berhenti sekolah selepas menghabiskan sekolah rendah. Kedudukan sekolah yang terlalu jauh dari rumah, memaksa Lee belajar apa saja yang dia boleh ketika meningkat remaja.

Bagi memenuhi masa, dia banyak membaca buku supaya ilmunya bertambah. Cubaan untuk mendapatkan kerja di mana-mana tempat yang memerlukan bantuan gagal, berikutan keadaannya yang berkerusi roda. Sebagai seorang yang terpaksa duduk di rumah, Lee tiada sumber pendapatan jadi dia mencari jalan membuka gerai tepi jalan menjual makanan ringan.

Neneknya memberi sokongan penuh dan galakan untuknya menceburi bidang perniagaan kecil-kecilan serta menemani beliau berniaga.

Berkat ketekunannya meniaga serta menyimpan hasil jualannya, dengan bermodalkan RM17 ribu yang berjaya dikumpul sekian lama pada usia 23 tahun, Lee memberanikan diri membuka sebuah kedai runcit.

Di sinilah dia belajar asam garam perniagaan sebenar. Mengambil pendekatan pro aktif, Lee mempelajari semuanya menerusi apa yang dia lihat setiap hari. Lee mengakui dia banyak belajar daripada mengkaji apa yang gemar dibeli pelanggannya. Dia juga mula mempelajari pesaingnya serta harga yang mereka tawarkan.

Lama kelamaan Pasar Raya Hiap Hoe yang dibukanya menjadi semakin berkembang namun bagi Lee, dia mahu mencabar dirinya sendiri. Menyedari model perniagaannya tidak akan mampu bersaing dengan kedai-kedai milik warga Cina lain serta jelas tidak dapat menyaingi pasaraya besar, Lee menjual kedai runcit kecilnya itu.

Dengan modal RM38 ribu yang diperolehinya daripada jualan kedai itu, dia membuka cawangan pertama pasar mini di Klang Utama yang dinamakan mini market 99 pada tahun 1999.

Permulaan empayar pasar mini 99

Impian Lee bukan cukup sekadar mahu membuka satu. Dalam angannya, dia sedar untuk berjaya dia perlu membuka sekurangnya beberapa buah rantaian pasar mini dalam memaksimakan potensi perniagaannya.

Bermula dengan satu di Klang, pasar mini 99 berjaya membuka lapan lagi cawangan di sekitar Klang menggunakan jenama yang sama. Berikutan pembukaan beberapa cawangan lain itu dan usaha memantapkan jenamanya, Lee mengubah nama rantaian pasar mininya menjadi 99 Speedmart pada tahun 2000.

Teknik perniagaan 99 Speedmar

Lee tahu model kedainya tidak mampu melawan harga dengan peniaga-peniaga lain yang lebih besar. Jadi modelnya menumpukan kepada jualan langsung secara kecil-kecilan. Dia hanya menyimpan stok pada barangan yang benar-benar mampu dijual.

Untuk tahun pertama perniagaannya, Lee mengakui dia terpaksa mengurangkan nisbah keuntungan hanya untuk membuatkan pelanggan kembali membeli di kedainya. Pengorbanan yang dilakukan dengan tujuan untuk membina reputasi ini adalah satu proses yang dipantau sendiri Lee.

Bagi memudahkan urusniaga beliau, 99 Speedmart mempercepatkan pembayaran pada pembekal dengan bayaran akan dibuat 30 minit selepas barang dihantar, berbanding pasaraya-pasaraya besar yang membuat pembekal menunggu lama untuk mendapatkan bayaran atas barang yang telah dihantar.

Ini membuatkan 99 Speedmart mula terkenal sebagai rangkaian kedai yang memudahkan urusniaga dan modus operandi itu tetap cuba dikekalkan sehingga ke hari ini.

Masa depan 99 Speedmart

Usaha beliau memperkembangkan perniagaannya membuahkan hasil dan titik peluhnya mula mendapat pengiktirafan kerajaan. 99 Speedmart dianugerahkan anugerah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri.

Atas usahanya membantu masyarakat dalam merendahkan harga barang, inisiatif beliau berjaya melayakkan 99 Speedmart mendapat anugerah ‘Kedai Harga Patut’ bagi beberapa tahun berikutnya.

Sehingga kini, 99 Speedmart telah berkembang mempunyai lebih 1000 cawangan di seluruh Malaysia, membuka peluang pekerjaan kepada lebih 10,000 orang serta mempunyai empat pusat operasi di seluruh negara. Bermula dengan sebuah kedai kecil menjual tepi jalan, dianggarkan nilai 99 Speedmart ketika ini sudah pun mencecah lebih daripada RM3.5 billion.

Rahsia hidup Lee Thiam Wah

Bagi kebanyakan peniaga yang ingin membangunkan jenama, mereka lebih gemar menggunakan sistem francais. Bagaimanapun bagi pemilik 99 Speedmart ini, dia lebih gemar menjalankan sendiri perniagaannya.

Walaupun pernah cuba memfrancaiskan perniagaannya, kini kesemua cawangan 99 Speedmart adalah di bawah miliknya sendiri kecuali hanya satu cawangan bukan miliknya. Berikutan teknik dan kaedah yang diamalkannya, ini membuatkan beliau takut untuk memiliki kediaman sendiri dengan kediaman di mana dia tinggal diduduki secara sewa.

Asetnya dalam bentuk hartanah hanyalah dua gudang bagi rangkaian kedainya yang duduk di atas tanah seluas 5 ekar.

Pertemuannya dengan salah seorang pekerjanya, Ng Lee Tieng yang ketika itu bekerja sebagai pembantu pembeli membuatkan rasa cinta berputik pada hati Lee. Ng yang dilihat mampu bekerja dengan tekun serta bijak menguruskan urusan kerja, menambat hati Lee lalu mereka berdua berkahwin dan pasangan itu dikurniakan dua orang anak.

Baca: “Kena liwat sejak umur 5 tahun” , mangsa rumah pertubuhan terkenal Malaysia buka mulut